Ringgit naik 0.35% berbanding dolar AS

Ketegangan perdagangan AS-China meningkatkan sentimen pelabur dengan beberapa syarikat multinasional menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi pengeluarannya. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka 0.35% lebih tinggi berbanding dolar AS, seiring dengan prestasi mata wang serantau lain selepas pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) bertindak mengekalkan kadar faedahnya, semalam.

Pada 9 pagi ini, ringgit berada pada 4.1575/1605 berbanding dolar AS daripada 4.1720/1750 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ambank menerusi laporan ekonomi yang dikeluarkan hari ini berkata, walaupun pihak Fed menangguhkan keputusan mengenai kadar faedah, namun ia masih terbuka kepada kemungkinan mengurangkan kadar itu pada akhir tahun ini.

“Pihak Fed berkemungkinan akan bertindak menurunkan kadar tersebut seawal Julai ini, didorong oleh 3 faktor utama, iaitu inflasi, pertumbuhan dan dan prospek ekonomi,” katanya.

Semalam, Fed dalam mesyuarat dasar selama 2 hari, mengumumkan untuk mengekalkan kadar faedah itu pada sekitar 2.25% dan 2.5%, namun membayangkan kesediaan mengurangkan kadar tersebut sekiranya aspek ketidaktentuan serta prospek ekonomi terus suram.

Sementara itu, seorang peniaga berkata, ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China sebaliknya hanya meningkatkan sentimen pelabur dengan beberapa syarikat multinasional menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi pengeluarannya.

“Ini ternyata merangsang pengukuhan ringgit pada masa ini.

Malah, didorong oleh dasar ekonomi dan insentif bagi menarik pelaburan langsung, ringgit dilihat mempunyai peluang cerah untuk mengukuh berbanding dolar AS dalam dagangan minggu ini,” katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan kesediaan Apple Inc yang juga gergasi teknologi AS memindahkan kapasiti pengeluarannya ke Asia Tenggara yang menjadi sebahagian daripada usaha penyusunan semula rantaian bekalan sedia ada syarikat itu.

Sementara itu, ringgit lebih rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit susut kepada 5.2705/2747 daripada 5.2459/2505 berbanding pound Britain semalam dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0543/0576 daripada 3.0508/0535, sebelum ini.

Ia turut rendah rendah berbanding yen pada paras 3.8621/8659 daripada 3.8476/8515 manakala berbanding euro, ringgit susut kepada 4.6797/6847 daripada 4.6731/6781, semalam.