Tak perlu tukar TPM dan Kabinet, kata Anwar

Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan singkat bersama Mahathir Moahamad di Putrajaya sebelum beliau berlepas ke Bangkok, hari ini.

PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mencapai kata sepakat untuk tidak melakukan pertukaran jawatan timbalan perdana menteri dan Kabinet buat masa sekarang.

“Saya menyatakan persetujuan terhadap pendirian beliau untuk memberi tumpuan kepada program pembangunan negara,” katanya menerusi kiriman Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan singkat bersama Mahathir di Putrajaya sebelum beliau berlepas ke Bangkok.

Selasa lalu, Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tidak akan melepaskan jawatannya sebagai timbalan perdana menteri sehingga Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan negara daripada Mahathir.

Wan Azizah berkata demikian mengulas gesaan Bendahari PPBM Selangor, Mohd Shaid Rosli yang mendesaknya meletak jawatan terlebih dahulu jika PKR mahu peralihan kuasa di antara Mahathir dan Anwar berlaku dalam tempoh berbaki setahun lagi.

Timbalan perdana menteri itu menegaskan peralihan kuasa akan berlaku seperti mana dijanjikan oleh Mahathir iaitu memberi laluan kepada Anwar sebagai perdana menteri selepas 2 tahun pembentukan kerajaan Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau juga membincangkan isu video seks gay yang melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, mengatakan PKR menolak budaya politik jijik dan keji.

“Saya turut melahirkan rasa simpati terhadap Azmin Ali dan keluarganya,” katanya sambil menegaskan wujudnya unsur politik berkaitan isu itu.