Talian aduan larangan merokok Kementerian Kesihatan pulih

Talian aduan KKM membolehkan orang ramai melaporkan orang yang merokok di tempat awam, termasuk tempat makan yang diisytiharkan sebagai zon larangan merokok

PETALING JAYA: Talian aduan Kementerian Kesihatan yang diwujudkan bagi membolehkan orang awam menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran larangan merokok di tempat awam kini dipulihkan, sehari selepas laporan bahawa ia disekat oleh WhatsApp kerana dianggap menceroboh hak peribadi.

Semakan FMT mendapati Sektor Kawalan Tembakau kementerian berkenaan memberi respons terhadap pesanan yang dihantar ke nombor 60108608949, yang memnghendaki maklumat seperti nama premis dan alamatnya dikemukakan.

“Maklumat daripada pihak tuan/puan akan kami ambil maklum dan akan kami sampaikan kepada Jabatan Kesihatan yang berhampiran anda,” kata pesanan itu.

Semalam dilaporkan bahawa pesanan yang dihantar ke talian aduan tersebut tidak sampai, tanpa “tanda rait berkembar” yang menandakan ia diterima.

Talian aduan kementerian berkenaan membolehkan orang ramai melaporkan orang yang merokok di tempat awam, termasuk tempat makan tertutup dan terbuka yang diisytiharkan sebagai zon larangan merokok.

Orang ramai diminta mengepilkan gambar perokok dan lokasi tempat kejadian dalam laporan mereka.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad kemudiannya dilaporkan berkata, kementerian akan berjumpa dengan Facebook secepat mungkin bagi mengatasi masalah itu.

WhatsApp dimiliki oleh Facebook.

Dzulkefly berkata, talian aduan itu disekat oleh WhatsApp selepas menerima aduan bahawa ia bercanggah dengan terma dan syarat aplikasi tersebut mengenai maklumat peribadi.

Perokok dibenarkan merokok 3m dari mana-mana restoran.

Tempoh percubaan selama 6 bulan bagi menangguhkan hukuman terhadap pesalah yang berakhir bulan depan, dilanjutkan lagi sehingga akhir tahun ini.