Agong berjiwa rakyat, beratur sendiri beli KFC

Siapa sangka seorang yang bergelar Yang di-Pertuan Agong sudi beratur bersama-sama rakyat semata-mata hanya untuk beli makanan di sebuah restoran.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini singgah di restoran makanan segera KFC di Temerloh, Pahang sebaik saja selesai menunaikan solat Jumaat.

Gambar yang dikongsi Facebook “I Love Pahang” memaparkan baginda memakai baju Melayu berwarna putih berdiri di hadapan kaunter menunggu makanan yang dipesan.

Turut disertakan pada kiriman Facebook itu keterangan: “Aokmer tengok tu, rilek je Tuanku beratur di kaunter KFC.

“Guane gaya perasaan staf kaunter tiba-tiba, Tuanku masuk ke KFC, beratur pastu titahkan pesanan saya nak ayam goreng tiga ketul”.

Rata-rata warganet yang meninggalkan ulasan menyatakan rasa kagum dan memuji Sultan Abdullah.

Menurut salah seorang netizan yang komen di Facebook I Love Pahang kagum dengan keperibadian Tuanku yang seorang berjiwa rakyat.

“Daulat Tuanku…..berjiwa rakyat sungguh…..teerrr….mau jantung jatuh ke lutut budok duk kaunter tu.”

Sultan Abdullah melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Januari lalu.

Pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong telah mencatat sejarah dalam amalan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Ini kerana pemilihan Sultan Abdullah diputuskan hanya dalam tempoh kurang seminggu selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan lepas.

Sultan Abdullah, yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang, merupakan cahaya mata keempat dan putera sulung kepada Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]