Cadangan laluan LRT dekat masjid Bayan Lepas belum muktamad, kata KM

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN:: Kerajaan Pulau Pinang berkata, cadangan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) sepanjang 30km dari Komtar merentasi kawasan sebuah masjid dan tanah perkuburan di Bayan Lepas belum muktamad dan masih tertakluk pada kajian lanjut.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, jajaran yang dicadangkan berdekatan Masjid Jamek Sg Nibong Besar itu masih dalam “kajian semula awal” dan belum muktamad.

Ini susulan laporan bahawa satu protes dirancang oleh masjid terbabit selepas salat Jumaat hari ini berikutan kebimbangan yang dibangkitkan sesetengah pihak tentang jajaran LRT berkenaan yang merentasi satu tanah wakaf yang menempatkan tanah perkuburan.

Pada satu sidang media di Komtar, Chow berkata, kerajaan akan menghormati pandangan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang sebelum membuat keputusan mengenai jajaran tersebut.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mematuhi syarat yang dikenakan oleh pengawal selia kerajaan persekutuan kerana semua rancangan berkait laluan keretapi terletak di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

“Kami menggesa semua pihak tidak dipengaruhi oleh dakwaan yang tidak sahih. Kerajaan negeri sedang bekerja keras bagi membangunkan sebuah negeri yang mampan, inklusif dan mendahulukan rakyat, selari dengan matlamat Pulau Pinang 2030 kami,” tambahnya.

Projek LRT bernilai RM8.4 bilion itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang berharga RM46 bilion.

Projek berkenaan mendapat bantahan pertubuhan masyarakat yang mendakwa pembinaan dan operasi laluan tersebut terlalu mahal.

Mereka juga berkata, jangkaan penggunaan sebanyak 42 juta penumpang setahun juga tidak realistik.

Bagaimanapun penyokong projek berkenaan berkata, laluan LRT terbabit akan mengurangkan kesesakan lalu lintas masa puncak dan meningkatkan keselamatan perjalanan di pulau berkenaan.

Laluan LRT Bayan Lepas akan memiliki 27 stesen bermula dari Komtar, yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan, ke 3 pulau buatan yang dirancang di bahagian selatan.

Laluan berkenaan dijangka menyokong kawasan perindustrian di Bayan Lepas dan keperluan penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Ia akan melalui kawasan perumahan dan hab pekerjaan di Jelutong, Gelugor, Baru Uban, Bayan Baru, Sg Tiram dan Batu Maung.

Projek berkenaan belum dimulakan kerana ia bergantung pada model pembiayaan melibatkan penjualan tanah di 3 pulau buatan.

Projek tebus guna itu sendiri masih menunggu kelulusan pengawal selia alam sekitar.