Cadangan pinda perlembagaan Umno bukan untuk singkir pemimpin, kata Mohamad Hasan

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan (3 dari kanan) pada majlis perasmian Muktamar PAS kali ke-65 di Stadium Tertutup Sukan Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN: Cadangan pindaan perlembagaan Umno tidak ada kaitan dengan usaha menyingkirkan pemimpin tertentu yang berdepan pendakwaan mahkamah, kata Mohamad Hasan.

Timbalan presiden Umno itu berkata, hasrat utama rancangan meminda perlembagaan Umno hanya bertujuan memudahkan pendaftaran bagi membuka parti seluas-luasnya kepada ahli baru.

Katanya, jika wujud cadangan berhubung pindaan yang terarah kepada penyingkiran pemimpin yang didakwa di mahkamah, ia akan dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan usul itu pasti akan digugurkan.

“Perlembagaan Umno nak rombak untuk singkir pemimpin terlibat rasuah itu adalah tidak betul. Sebenarnya hasrat kita nak buat pindaan ini untuk kita membuka parti seluas-luasnya, supaya lebih mudah pendaftaran ahli, tak sukar macam dulu.

“Anak muda banyak minat politik, akhirnya mereka masuk PAS, masuk PKR, masuk PPBM dan macam-macam.

“Perkara ini (singkir pemimpin) tidak timbul. Kalau ada dibangkitkan, kita akan bincang dan kita akan gugurkan. Bagi saya jangan ambil hak ahli, biar ahli tentukan kepimpinan,” katanya ketika ditemui media pada majlis perasmian Muktamar PAS ke-65 di sini, yang bermula hari ini.

Katanya, jawatankuasa pindaan perlembagaan ditubuhkan oleh presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan dipengerusikan oleh Mohamed Khaled Nordin bagi memdapatkan pandangan akar umbi berhubung cadangan pindaan tersebut sebelum keputusan akhir dibuat.

Semalam Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Adam dilaporkan berkata, Khaled yang juga naib presiden parti itu berniat tidak baik dengan mengemukakan cadangan fasal baru dalam perlembagaan Umno bagi memastikan sesiapa yang bersalah di bawah pertuduhan rasuah atau jenayah hilang keahlian setelah membuat merayu ke peringkat tertinggi parti.

Mohamad berkata, beliau tidak pasti apakah tujuan Lokman berkata demikian, seolah-olah beliau sengaja mencetuskan isu.

Dalam pada itu, Mohamad menjelaskan bahawa tiada sebarang sekatan dibuat ke atas Ahmad Zahid dalam menjalankan tugasnya sebagai presiden.

Mohamad menolak dakwaan kononya Zahid akan meletak jawatan dan beliau akan mengambil alih tugas presiden secara rasmi selepas itu.

“Tak timbul soal beliau (Zahid) akan letak jawatan atau apa, dan tiada isu sampai bila saya nak menanggung tugas presiden.

“Terpulang kepada Zahid. Kalau esok pagi beliau beritahu saya, Mat, aku nak balik ke pejabat, saya akan serahkan. Malah saya tak guna pun pejabat presiden Umno, saya masih guna bilik sendiri,

“Dulu beliau buat keputusan nak bercuti pun dengan kerelaan sendiri, dan kalau beliau sudah rasa lega… tak ada apa-apa lagi yang membebankan pemikirannya, Zahid boleh balik untuk meneruskan tugas sebagai presiden Umno, tak ada masalah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kehadirannya ke muktamar PAS di Kuantan itu adalah pertama kali buat dirinya.

“Saya amat gembira melihat suasana tenang yang jelas menunjukkan bahawa politik Malaysia semakin lama semakin meriah.

“Kita perlukan sesuatu yang matang, bukan politik yang menghentam tak tentu arah, tetapi bawa kepada hala tuju, menyeru kepada kebaikan dan perpaduan,” katanya.

Muktamar PAS ke-65 yang bermula hari ini dijadualkan berakhir Ahad.