Dr M tekad tidak akan biar Malaysia berantakan apabila lepas jawatan

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad hari ini bertekad tidak akan membiarkan negara dalam keadaan berantakan apabila beliau melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri bila tiba masanya nanti.

Pemimpin berumur 93 tahun itu berkata memang menjadi hasratnya untuk terus bekerja keras buat negara dan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Yang pastinya saya tidak akan berlalu meninggalkan (kepimpinan) negara ini dalam keadaan berantakan, seperti yang dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini.

“Jadi saya sedang bekerja keras untuk negara, sedaya upaya, dan diharapkan kita akan dapat membetulkan keadaan dan menyelesaikan semua masalah yang kita warisi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi program “The Future of Malaysia and Asean” di Sidang Kemuncak Perniagaan Asean Bloomberg ke-5 di Bangkok hari ini, yang dihoskan oleh ketua koresponden antarabangsa bagi Asia Tenggara Bloomberg Television, Haslinda Amin.

Menjawab satu soalan, Dr Mahathir berkata beliau akan berpegang teguh kepada janjinya untuk menyerahkan tampuk kepimpinan negara kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ditanya sama ada Anwar sudah bersedia untuk memikul jawatan itu, Mahathir berkata: “Ia bukan soal sama ada beliau sudah bersedia atau tidak. Saya sudah berjanji, dan saya akan berpegang teguh kepada janji saya”.

Mahathir turut menyentuh soal Kabinet, dengan berkata tidak ada sebarang rombakan jawatan setakat ini, dan beliau akan berbuat demikian hanya sekiranya ada keperluan.

“Apabila anda merombak Kabinet, ia akan mengakibatkan kebanyakan orang merasa tersinggung, dan mereka mungkin bertindak balas dengan cara yang menjejaskan hubungan baik.

“…saya tidak suka mengenepikan orang, dan meletakkan muka baru. Saya tidak pernah melakukannya sebelum ini, dan saya tidak akan buat begitu sekarang.”

Selesai isu hutang sebelum lepas jawatan

Dalam perkembangan lain, Mahathir akan terus menumpukan usaha mengurangkan hutang negara sebelum beliau mengakhiri tempoh memegang jawatan itu buat kali ke-2.

Ketika ditanya mengenai satu perkara yang beliau mahu selesaikan sebelum melepaskan jawatan tersebut, beliau berkata: “hutang.”

Mahathir berkata hutang tersebut terlalu besar bagi negara ini dan ia perlu dikurangkan.

“Namun apabila anda membandingkannya dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)… KDNK meningkat dan peratusan hutang berkurangan, itu satu penyelesaian manakala cara lain pula adalah menjual aset,” katanya.

Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan menganggap keadaan kewangan kerajaan sebagai perkara tidak begitu penting sebelum ini malah tidak mendapat maklumat tepat mengenai kedudukan kewangan kerajaan terdahulu.

Namun apabila PH mengambil alih pentadbiran kerajaan tahun lepas, ia mendedahkan hutang negara berjumlah RM1 trilion.

“Kami berada di luar (kerajaan sebelum ini) dan tidak mendapat maklumat mengenai apa yang berlaku dalam kewangan negara, tetapi setelah mengambil alih pentabiran kerajaan, barulah kami menyedari kadar hutang negara adalah lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan berdepan tempoh yang amat sukar untuk menyelesaikan kedudukan kewangan kerajaan serta jentera pentadbiran.

“Namun kami dapat menguruskan hutang itu sehingga ia tidak lagi menjadi penghalang kepada pentadbiran dan pembangunan negara,” katanya.

Baru-baru ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan dapat mengawal dan mengurangkan keseluruhan hutang dan liabiliti kepada 75.4% daripada KDNK tahun lepas berbanding 79.3% pada 2017 walaupun hutang langsung kerajaan meningkat 1.1 mata peratusan kepada 51.2% daripada KDNK.

Keseluruhan hutang dan liabliti kerajaan turun 3.9 mata peratusan setelah didorong hasil rasionalisasi kos ke atas projek mega yang terlalu mahal serta pembayaran Kerjasama Awam-Swasta, katanya.

Mahathir berkata hampir satu tahun berlalu untuk menyelesaikan semua perkara yang dijanjikan, namun setakat ini kerajaan mengurangkan hutang dengan baik.

Beliau berkata negara mula mencatatkan pelaburan masuk serta pelaburan langsung asing meningkat kepada RM29.3 bilion dalam semua sektor.

“Pelaburan yang akan masuk (ke dalam negara) itu adalah baik,” katanya.