Duit dari Najib untuk beli 4 Chevrolet, kata Naza

Naza Quest Auto, pengedar kereta Chevrolet sehingga tahun lalu, antara entiti yang menurut SPRM menerima wang dikatakan daripada 1MDB. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengedar kereta Chevrolet tempatan, Naza Quest Auto Sdn Bhd hari ini mengesahkan RM270,000 yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak adalah untuk pembelian 4 kereta antara 2012 dan 2013.

Menjawab tindakan pelucuthakan sivil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat itu, Naza Quest Auto berkata RM105,000 dibayar pada 17 Disember 2012 dan RM164,662 dibayar pada 9 Disember 2013.

Dua transaksi itu untuk pembelian 2 kereta Chevrolet.

Naza Quest Auto sebahagian daripada Naza Group. Syarikat itu merupakan pengedar tunggal kereta Chevrolet sehingga November 2018.

“Naza Group akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memberikan bantuan yang perlu berkaitan dengan perkara ini,” katanya.

Syarikat itu antara 41 individu dan entiti yang dinamakan SPRM hari ini sebagai penerima kira-kira RM270 juta yang dikatakan daripada 1MDB.

Sebahagian besar wang itu berjumlah RM212 juta diberikan kepada Umno bahagian dan cawangan.

Sementara itu, sebuah lagi syarikat dalam senarai itu, francais barangan kemas Habib Jewels Sdn Bhd berkata, semua transaksinya dengan “suci hati (good faith) dan disokong dokumentasi sah”.

“Ini termasuklah transaksi yang mungkin disiasat SPRM,” kata syarikat itu, dan menambah ia belum menerima notis daripada SPRM.

“Kami juga ingin mengesahkan kami telah bekerjasama sepenuhnya dan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung perkara ini,” katanya.