Gobind harap majlis media ditubuhkan akhir tahun ini

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berharap untuk melihat Majlis Media ditubuhkan menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata mesyuarat pertama penubuhan majlis tersebut diadakan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya hari ini dan mereka bersetuju majlis berkenaan ditubuhkan melalui Akta Parlimen.

“Kami mengadakan perbincangan hampir 2 jam. Kami mencapai persefahaman majlis tersebut perlu ditubuhkan melalui Akta Parlimen dan rang undang-undang (RUU) yang dicadangkan akan digubal dengan tumpuan pada masa ini kepada 5 bidang utama,” katanya di Facebook.

Mesyuarat tersebut melibatkan Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Kadir Jasin, yang mewakili media, kumpulan akademik, Gobind dan wakil Pejabat Peguam Negara.

Sejumlah 12 kumpulan diwakili pada mesyuarat tersebut.

Mengulas 5 bidang utama bawah cadangan RUU itu, Gobind berkata mereka menggariskan objektif dan fungsi majlis, perlembagaan majlis dan keahlian, kod tatalaku, kaedah penyelesaian pertikaian dan peruntukan umum termasuk mengkaji undang-undang semasa yang perlu dimansuhkan atau dipinda apabila majlis itu dibentuk.

“Saya telah meminta bahagian penggubalan untuk menyediakan draf awal dalam tempoh 2 minggu dari sekarang dan selepas itu jawatankuasa sementara terdiri daripada ahli-ahli media akan dibentuk untuk memuktamadkan butiran terperinci cadangan RUU tersebut,” katanya.

Gobind kemudian akan mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh bagi memperincikan cadangan terakhir itu.

“Saya harap untuk melihat RUU dibentangkan di Parlimen dan majlis media ditubuhkan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengemukakan cadangan bertulis atau sebaliknya dan mereka yang menghadiri mesyuarat tersebut.