Ibu kandung dipenjara 20 tahun bunuh 5 bayinya sejurus lahir

Sylvie Horning mengaku mencekik 5 bayinya sejurus melahirkan mereka secara rahsia di dalam bilik mandi.

COLMAR: Pendakwa raya Perancis menjatuhi hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang wanita pada Khamis kerana didakwa membunuh 5 bayinya sejurus mereka dilahirkan, kes jenayah yang dibongkar semula selepas 1 setengah dekad mayat mangsa ditemui.

Sylvie Horning, 55, ditahan pada November 2017 selepas disyaki membunuh 5 anaknya antara 1990 hingga 2005.

Horning, ibu kepada 3 anak dewasa, dipercayai menyembunyikan kehamilan termasuk daripada pengetahuan pasangannya, melahirkan anak secara rahsia dan mencekik bayi yang baru lahir itu di rumahnya di Wittelsheim di timur Perancis.

Pada 2003, 4 mayat bayi ditemui di dalam beg sampah berhampiran hutan Galfingue.

Tetapi siasatan awal ditutup pada 2009 selepas ia gagal memberi petunjuk kepada kematian mangsa.

Ia dibuka semula pada 2016 menggunakan ujian DNA, dan setahun kemudian penyiasat mengaitkan Horning dengan kematian tersebut, selepas DNA Horning diambil dalam kes berasingan berikutan insiden pergaduhan dengan jirannya.

Ini kemudian membuktikan dia adalah ibu kepada mayat bayi yang ditemui itu.

Horning mengaku mencekik 5 bayinya sejurus melahirkan mereka secara rahsia di dalam bilik mandi. Bayi ke-5nya kemudian ditemui di dalam peti sejuk di rumahnya.

Pasangannya yang meninggal pada 2018, berkata dia tidak menyedari kejadian itu. Ibu Horning masih hidup tetapi tidak memberi keterangan pada perbicaraan itu kerana masalah kesihatan.

Tiga anaknya yang lain – seorang anak lelaki dan 2 perempuan yang tinggal berasingan dengan Horning – turut hadir di mahkamah.