Kelantan sasar Islamkan semua Orang Asli dalam 30 tahun

Maik berkata pihaknya akan mengislamkan seluruh Orang Asli di Kelantan dalam tempoh 30 tahun.

PETALING Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menyasarkan untuk mengislamkan semua Orang Asli di negeri itu dalam tempoh 30 tahun, kata Timbalan Presidennya, Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Azlan berkata kira-kira 5,000 daripada 16,000 Orang Asli di negeri itu setakat ini sudah pun menganut agama Islam.

Beliau berkata terdapat lebih 100 pendakwah Maik dan penggerak masyarakat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang ditugaskan untuk menjaga kebajikan dan memberi pendidikan kepada Orang Asli.

“Kita rancang kalau 500 orang setahun dapat kita dakwah kepada Islam, InsyaAllah dalam tempoh 30 tahun lagi seluruh Orang Asli di negeri ini dapat kita Islamkan.

“Kami ada rangka kerja dakwah yang komprehensif kepada Orang Asli termasuk melalui kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya memetik laporan itu.

Azlan berkata melalui kerjasama itu, pihaknya membina pelan dakwah berasaskan 3 modul utama, iaitu penyediaan profil Orang Asli yang mengandungi maklumat jumlah mereka yang sudah dan belum memeluk Islam.

Modul seterusnya adalah mengadakan kurikulum yang seragam kerana dakwah tidak boleh dijalankan sembarangan.

“Kita ajar mengucap, solat, puasa dan sebagainya,” katanya sambil menambah modul ke-3 adalah latihan kepada pendakwah supaya mereka tahu langkah terbaik ketika berdakwah kepada Orang Asli.