Kementerian: Gaji asas pasaran buruh naik 5%

Ramai majikan lebih suka merekrut pekerja asing bagi pekerjaan asas disebabkan komitmen dan sikap pekerja tersebut.

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia berkata gaji asas dalam pasaran buruh meningkat 5% dalam tempoh 12 bulan antara September 2017 hingga September 2018.

Pengarah Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (Ilmia), Wan Zulkifli Wan Setapa berkata gaji buruh meningkat 5.3% di Semenanjung dan 2.7% dan 4.6% di Sabah dan Sarawak.

“Lima peratus dilihat rendah kerana produktiviti yang rendah,” katanya selepas pengumuman indeks gaji kebangsaan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar, hari ini.

“Jika kita mahu meningkatkannya, kita perlu meningkatkan produktiviti juga. Kita mempunyai waktu kerja yang panjang, tetapi produktiviti kita masih rendah.

“Sudah tiba masanya penggubal dasar memikirkan bagaimana kita boleh mempunyai produktiviti yang lebih tinggi,” katanya sambil menambah perbincangan diadakan mengenai perkara itu dari masa ke semasa.

Wan Zulkifli berkata produktiviti Malaysia lebih rendah berbanding negara luar seperti Singapura dan Australia.

Berhubung persoalan mengapa ramai majikan kelihatan lebih suka merekrut pekerja asing bagi pekerjaan asas, Wan Zulkifli berkata ini disebabkan oleh komitmen dan sikap pekerja tersebut.

“Ia menjadi kebiasaan jika orang asing bekerja lebih keras kerana mereka bekerja di negara asing. Mereka akan memberi tumpuan kepada pekerjaan mereka.

“Penduduk tempatan mempunyai banyak komitmen lain. Ia bukan kerana mereka malas atau memilih atau produktiviti mereka rendah. Mereka mempunyai pilihan yang lebih baik untuk dipilih apabila ia berkaitan dengan pekerjaan,” katanya.