Mahkamah benarkan Shafee ke Australia jumpa anak guam

Muhammad Shafee Abdullah berjanji akan memulangkan pasportnya kepada Mahkamah Tinggi pada 3 Julai ini.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan peguam, Muhammad Shafee Abdullah mendapatkan sementara pasportnya untuk ke Australia bagi tujuan kerja.

Panel 3 hakim dipengerusikan Ahmadi Asnawi berkata, Shafee yang berdepan pertuduhan jenayah di sini tidak berisiko melarikan diri.

“Pemohon perlu berada di Australia kerana anak guamnya berhak mendapatkan peguam pilihannya,” kata Ahmadi dalam keputusan sebulat suara.

Panel lain adalah Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Ahmadi berkata, pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan Shafee berisiko melarikan diri.

Peguam itu yang berdepan 2 pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM9.5 juta memfailkan permohonan untuk ke Sydney antara 23 Jun dan 1 Julai ini.

Beliau berjanji akan memulangkan pasportnya kepada Mahkamah Tinggi pada 3 Julai nanti.

Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Shafee untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi mengendalikan pertuduhan mengedar dadah seorang anak guamnya di Australia.

Hakim, Collin Lawrence Sequerah dilaporkan berkata, kehadiran Shafee di Australia berdasarkan surat bertarikh 13 Mei 2019 hanya untuk membantu kes itu.

“Kehadiran pemohon (Shafee) di tempat tahanan itu bertujuan menterjemah ke dalam bahasa Melayu…beliau boleh menghantar wakil dari firmanya.

“Oleh itu, jelas sekali kehadiran pemohon hanya untuk membantu kerana telah ada peguam Australia.”

Katanya, Shafee diminta menyerahkan pasportnya kerana pertuduhan yang dihadapinya adalah serius.

“Kemungkinan melarikan diri perlu diambil kira. Oleh itu, permohonan untuk pelepasan sementara pasport ditolak,” katanya.

Pada 13 September 2018, Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 2 pertuduhan pengubahan wang haram.

Beliau dibebaskan selepas membayar ikat jamin RM1 juta, tetapi diarah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Peguam Shafee, Harvinderjit Singh memberitahu panel 3 hakim hari ini, anak guamnya tidak berisiko melarikan diri dan beliau ke luar negara sebanyak 4 kali selepas pertuduhan itu dan pulang ke Malaysia.

“Beliau ada 3 isteri dan semuanya berada di sini,” katanya sambil menambah anak guam Shafee di Australia memerlukan nasihat guaman sama ada untuk mencabar pertuduhan atau mengaku bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berkata Shafee tiada alasan berada di Australia kerana anak guamnya turut diwakili seorang peguam tempatan.

Beliau kemudiannya memberitahu wartawan, beliau akan mendapatkan arahan peguam negara untuk tindakan lanjut.