
NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis menerima pakai resolusi mengenai perlindungan orang awam di negara dilanda konflik bersenjata, termasuk ke atas orang kurang upaya (OKU), lapor agensi berita Xinhua.
Resolusi 2475, yang mendapat undian sebulat suara daripada 15 anggota Majlis itu, menggesa semua pihak terlibat konflik bersenjata mengambil langkah melindungi dan tidak melakukan keganasan terhadap orang awam serta OKU.
Semua negara terlibat juga perlu memastikan orang awam bebas daripada dikenakan hukuman, diberikan hak untuk mendapatkan akses keadilan dan rawatan.
Resolusi itu juga menuntut penghapusan diskriminasi serta meminggirkan OKU selain menyediakan khidmat pemulihan dan sokongan psikososial, untuk memastikan keperluan khusus mereka ditangani dengan berkesan, terutamanya wanita dan kanak-kanak.
Akses sama rata juga perlu diberikan kepada golongan itu termasuk pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pengangkutan serta komunikasi dan teknologi maklumat.