Najib: Jakel dibayar untuk bekal kain pelikat, jubah kepada 7,000 masjid

PETALING JAYA: Najib Razak hari ini berkata bayaran kepada syarikat Jakel Trading Sdn Bhd bukan dana untuk syarikat itu, tetapi bayaran untuk membekalkan kain pelikat, jubah dan bekalan lain kepada 7,000 masjid.

Bekas perdana menteri itu menjelaskan Jakel hanya membekalkan barangan kepada Umno dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk diberikan kepada masjid-masjid di seluruh negara sempena Ramadan bagi beberapa tahun berturut-turut.

“Dana tidak disumbang kepada Jakel tetapi adalah bayaran kepada mereka untuk pembelian,” katanya di Facebook.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memfailkan permohonan pelucutahakan sivil terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan kembali RM270 juta wang yang dikatakan daripada 1MDB, yang dipindahkan ke akaun bank Najib Razak dan kemudian ke penerima berkenaan, termasuk Jakel.

Najib berkata “amat janggal” Jakel didakwa menerima dana haram kerana syarikat itu cuma membekalkan barangan kepada Umno dan NGO untuk program kebajikan.

Atas sebab itu, Najib merasakan langkah SPRM itu bermotifkan politik untuk melemahkan pembangkang.

“Setelah SPRM siasat selama 1 tahun, mereka tidak dapat mendakwa sebarang penerima dengan kes jenayah.

Oleh itu, kerajaan PH terpaksa menggunakan saman sivil,” katanya.

Arab Saudi

Najib sekali lagi mengingatkan dalam perbicaraan kes SRC International, pegawai bank mengesahkan kepada mahkamah bahawa dana yang diterima daripada putera Arab termasuk sekurang-kurangnya RM304 juta.

Wang itu, katanya dimasukkan ke akaunnya pada 2011 oleh Kementerian Kewangan Arab Saudi, dan dia diberi kebebasan penuh oleh Raja Saudi untuk mengendali dana itu.

“Saya memilih untuk menggunakannya untuk projek kebajikan rakyat secara terus, melalui NGO dan melalui parti politik yang menganjurkan program-program kebajikan mereka.

“Dana itu bukan digunakan untuk peribadi atau keluarga saya,” katanya.