Pencemaran udara 2 sekolah di Pasir Gudang, bau LPG dikesan

Dalam kejadian petang semalam, 13 murid berusia antara 7 hingga 12 tahun dan 2 kakitangan dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dihantar ke Hospital Sultan Ismail selepas mengalami simptom muntah-muntah serta sesak nafas. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Pencemaran udara yang berlaku di 2 sekolah Pasir Gudang, semalam, dikatakan berbau seperti as petroleum cecair (LPG), kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon.

Beliau berkata, bau itu dikesan pihak sekolah sejak 3 hari lepas dan kemudian memaklumkannya kepada pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Berikutan makluman itu, pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dan Johor Bahru, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan agensi lain digegaskan ke tempat kejadian untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat dan kerja “detomination” di tempat kejadian dengan kadar segera.

Bagaimanapun, selepas pemantauan kualiti awal udara dilaksanakan, didapati tiada bau tersebut dikesan di tempat kejadian, katanya dalam satu kenyataan.

“Menurut pemantauan kualiti awal udara oleh pihak JAS dan pasukan Hazmat, parameter bagi elemen seperti karbon monoksida, hidrogen sulfida dan Volatile Organic Compound (VOC) adalah sifar. Bacaan oksigen di tempat kejadian adalah 21.2 ppm dan ini bermaksud kualiti udara di tempat kejadian adalah normal dan terkawal,” katanya.

Tan berkata, pihak JAS kemudiannya melakukan pemantauan kualiti udara di 4 “point” dengan frekuensi 4 jam sekali.

“Pihak JAS, pasukan Hazmat dan agensi lain akan meneruskan pemantauan udara di kawasan sekolah terlibat. Pada masa sama, pemantauan dalam radius 2 kilometer dari sekolah turut dilakukan, selain mengaktifkan satu Jawatankuasa Saintifik bagi menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca pencemaran,” katanya.

Dalam kejadian petang semalam, seramai 13 murid berusia antara 7 hingga 12 tahun dan 2 kakitangan dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan selepas mengalami simptom muntah-muntah serta sesak nafas akibat terdedah kepada pencemaran itu.

Ini adalah kejadian ke-2 melibatkan pencemaran udara di Pasir Gudang.

Pada 7 Mac lepas, hampir 6,000 penduduk di kawasan sama terjejas akibat pencemaran udara daripada pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim. Pencemaran tersebut turut mengakibatkan 111 buah sekolah ditutup sementara.