PH gagal pertahan Islam dan urus ekonomi, kata Hadi

Abdul Hadi Awang menjangkakan kadar pertumbuhan ekonomi negara terus perlahan sehingga 2020 di bawah kerajaan PH pimpinan Mahathir Mohamad.

KUANTAN: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini mendakwa kerajaan Pakatan Harapan tidak mempertahankan Islam dan gagal menguruskan ekonomi negara.

Dalam ucapan dasarnya sempena Muktamar PAS ke-65, ahli Parlimen Marang itu berkata, negara kehilangan arah tuju politik dan ekonomi di bawah pentadbiran PH yang sehingga kini gagal mengemukakan idea serta gagasan bernegara mengikut acuan Islam sebenar.

“Kita juga sedang menyaksikan kecelaruan kiblat politik dan ekonomi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

“Terlalu panjang untuk disenaraikan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan yang hanya tahu menyalahkan pihak lain ataupun menjenamakan dan menghidupkan kembali program kerajaan terdahulu yang dikritik mereka.

“…sehingga ada yang menggelar Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang lemah dan tidak boleh diharapkan.”

Hadi berkata, rakyat bijak menilai pembohongan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad yang gagal menunaikan semua janji di bawah manifesto pilihan raya umum ke-14 lalu.

Beliau menjangkakan kadar pertumbuhan ekonomi negara terus perlahan sehingga 2020 di bawah pentadbiran PH.

“Mereka juga gagal menguruskan ekonomi bagi mewujudkan lebih peluang pekerjaan dan mengurangkan kos sara hidup yang sedang ditanggung rakyat.

“Kerajaan dilihat masih gagal untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan daya tahan ekonomi negara dengan mengambil kira peluang pekerjaan yang terhad, kos sara hidup rakyat yang terus meningkat dan kuasa beli yang lemah.”

PRU15

Hadi turut menyeru semua ahli dan jentera PAS bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRU15 diadakan lebih awal memfokuskan gerak kerja di peringkat akar umbi, bukannya memikirkan kerusi mana harus ditandingi parti Islam itu, susulan kerjasama PAS-Umno.

“Keutamaan perlu diberikan kepada aspek penambahan ahli, pendaftaran pengundi, pelebaran pengaruh dan penguasaan media secara berstrategi. Namun, setiap gerak kerja perlu berterusan dan bermula dari awal, bukannya tergopoh-gopoh membuat program.

“Mandat untuk menjalin kerjasama politik, pembahagian kerusi dan pemilihan calon hendaklah diserahkan kepada Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat, dengan mengambil kira pertimbangan Fiqh Siasah dan strategi politik semasa.

“Patuhi setiap arahan. Jangan sibuk mahu menjadi panglima perang, sedangkan perisai dan kuda belum dipersiapkan,” pesannya kepada ahli dan jentera PAS.