Sasterawan Negara akan diumum bila tiba masanya, kata Maszlee

Maszlee Malik berkata kriteria Sasterawan Negara mestilah seorang sasterawan yang bertaraf negara.

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata pihaknya akan mengumumkan siapa yang akan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-14 apabila tiba masanya.

Beliau berkata tiada pengumuman siapa tokoh kesusasteraan itu sejak 2015 dan meminta media menanyakan sebab kelewatan tersebut kepada kerajaan lalu.

“Dari 2015 lagi tangguh, jadi pada saya lambat itu kena tanya daripada (yang) dulu. Jadi sekarang kita pastikan akan dipercepatkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-63 di Wisma DBP.

Pada 11 Mei lalu, DBP tidak menolak kemungkinan beberapa nama termasuk seorang novelis bukan Melayu, penulis pro-Pakatan Harapan dan penulis yang diharamkan, merupakan antara calon Sasterawan Negara ke-14.

Ketua Pengarahnya, Abang Sallehuddin Abang Shoekran berkata demikian merujuk kepada pencalonan novelis Sarawak Jong Chian Lai, Che Shamsuddin Othman, Faizal Musa, Azmah Nordin dan Latif Mohidin untuk anugerah kesusasteraan tertinggi negara itu.

Sumber memberitahu, DBP dikatakan menyenarai pendek 5 nama itu setelah beberapa bulan mengkajinya.

Menurut sumber itu lagi, panel pemilih yang diketuai ahli akademik terkenal, Salleh Yaapar mengemukakan pilihan mereka kepada Maszlee yang perlu mendapatkan persetujuan Agong.

Kali terakhir Sasterawan Negara dinobatkan adalah pada 13 Oktober 2015 yang menyaksikan penulis kelahiran Kedah, Zurinah Hassan diumumkan sebagai penerimanya yang ke-13.

Dalam perkembangan sama, Maszlee berkata kriteria Sasterawan Negara mestilah seorang sasterawan yang bertaraf negara, selain beliau memberi jaminan akan memastikan tokoh itu terbela.

Beliau berkata usaha pertama yang akan dilakukan adalah akan mengadakan pertemuan antara Sasterawan Negara dengan Kementerian Kewangan.

“Ini agar insentif-insentif boleh diberikan kepada mereka,” katanya.

Maszlee juga akan meminta semua universiti awam membayar elaun bulanan kepada semua Sasterawan Negara yang dinobatkan sebagai sasterawan tamu di institusi pengajian masing-masing.

Beliau berkata, langkah itu penting sebagai tanda pengiktirafan kepada tokoh terbabit, selain berbangga dengan hasil karya mereka.

“Ya, saya gembira apabila sasterawan-sasterawan negara kita dinobatkan dan diambil sebagai sasterawan tamu, tetapi sekadar ambil dan nobat karya mereka sahaja tak cukup. Kita perlu juga menjaga kebajikan mereka.

“Saya akan menyeru mereka supaya memberi elaun bulanan kepada Sasterawan Negara,” katanya.

Jangan salahkan kerajaan lalu

Sementara itu, bekas menteri Pendidikan Mahdzir Khalid berkata senarai pemenang anugerah Sasterawan Negara memang dari dulu tidak diumumkan setiap tahun.

Beliau berkata pemenang Anugerah Sasterawan pada 2015 juga diberikan pada 2016.

“Kalau lihat senarai anugerah Sasterawan Negara bukan setiap tahun.

“Tidak perlulah pasal Sasterawan Negara pun nak salahkan kita,” katanya.