Tiada penghuni pusat jagaan warga emas didera, kata Wan Azizah

Media baru-baru ini melaporkan 4 bekas pekerja Pusat Jagaan Warga Emas dan Terapi Fitrah di Seremban mendakwa berlaku pengabaian dan penderaan terhadap warga emas di premis itu sejak 2 tahun lepas. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Tiada sebarang unsur penderaan didapati berlaku terhadap penghuni Pusat Jagaan Warga Emas dan Terapi Fitrah di Seremban seperti didakwa, kata Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail.

“Pemeriksaan oleh hospital (ke atas penghuni) tidak menemui sebarang bukti penderaan terhadap mereka,” kata Wan Azizah yang juga menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program ‘Brisk Walk’ di perkarangan Masjid Putra, hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan 4 bekas pekerja pusat jagaan itu mendakwa berlaku pengabaian dan penderaan terhadap warga emas di premis itu sejak 2 tahun lepas.

Polis dilaporkan mengambil keterangan daripada 10 saksi berkaitan kes berkenaan dan menyiasat mengikut Seksyen 351/352 Kanun Keseksaan.

Wan Azizah berkata berkata pusat jagaan berkenaan yang dihuni 12 warga emas kini dalam proses penutupan sebab tidak menepati syarat-syarat pendaftaran.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan penempatan semula penghuni berkenaan sebelum diambil waris terdekat mereka.

“Penghuni pusat berkenaan akan diletakkan di tempat selamat dahulu sebelum menutup operasi pusat berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Zulkifli Ismail yang ditemui berkata pengusaha baru yang ingin mengambil alih operasi pusat jagaan itu perlu membuat permohonan kepada JKM.

Dalam pekembangan lain, Wan Azizah menyeru rakyat Malaysia menjadikan acara “plogging” iaitu berjoging sambil memungut sampah sebagai satu budaya, di mana aktiviti itu sudah menjadi trend penduduk dunia khususnya Sweden.