Video seks gay: Haziq disoal polis kali ke-2 selama 7 jam

Haziq Aziz ditamatkan kontrak sebagai setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin berkuat kuasa 18 Jun lalu.

PETALING JAYA: Polis menyoal siasat Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz buat kali ke-2 susulan pengakuannya terbabit dalam hubungan seks sejenis dengan seorang individu didakwa menteri kanan.

Peguam, Ramesh Sivakumar berkata, anak guamnya disoal siasat dari 8 malam Khamis hingga 3 pagi tadi di Bukit Aman.

“Beliau jawab semua soalan mereka dan semuanya berjalan lancar,” katanya kepada FMT.

Pada 12 Jun lalu, Haziq menggemparkan negara dengan mengaku dirinya terbabit dalam klip video seks sejenis itu.

Beliau turut menamakan Azmin Ali sebagai pasangannya dalam video itu yang didakwanya dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu baru-baru ini.

Menteri hal ehwal ekonomi itu menolak dakwaan berkenaan dengan menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Pada 14 Jun lalu, Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 ketika mahu berlepas ke Manila dan beliau dibebaskan atas jaminan polis keesokannya.

Bekas setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin itu dilaporkan disiasat atas 4 kesalahan, termasuk melakukan hubungan seks di luar tabii dan mengedar bahan lucah.

Polis turut mengambil keterangan Azmin pada Isnin lalu, manakala setiausaha politiknya, Muhammad Hilman Idham pula memberi keterangan buat kali ke-3 di Bukit Aman hari ini.