5 sekolah, tadika di Pasir Gudang ditutup akibat kes sesak nafas

Antara pelajar Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang yang menerima rawatan selepas mengalami gejala muntah dan sesak nafas pada Khamis lalu. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Tiga sekolah dan 2 tadika di Pasir Gudang ditutup selama 2 hari mulai esok untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan lanjut berhubung insiden sesak nafas membabitkan 15 pelajar di kawasan itu pada Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata keputusan menutup sekolah dan tadika itu dibuat jawatankuasa teknikal kes itu yang membabitkan Sekolah Agama Taman Mawar, Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2, Tadika Pasti dan Tadika Pintar Bestari.

“Semua sekolah dan tadika ini berada dalam radius 100 hingga 800m dari Sekolah Agama Taman Mawar.

“Kita menutupnya sebagai langkah berjaga-jaga kerana ini juga melibatkan budak kecil,” katanya sambil menambah lebih 3,000 orang (termasuk guru) berada di sekolah dan tadika itu.

Dalam sidang media di bilik gerakan operasi pemantauan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini, Khuzzan berkata, setakat hari ini, bacaan kualiti udara di radius kawasan sejauh 1.1km dari tempat kejadian adalah normal.

“Oleh itu, pemantauan akan diteruskan sehingga Isnin ini sementara menunggu laporan siasatan pihak berkaitan berhubung puncanya.”

Sehingga kini, katanya, tiada panggilan susulan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berhubung insiden sama.

“Cuma pada tengah hari semalam, selepas selesai sidang media, 2 mangsa baru dilaporkan menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.

“Mangsa ialah seorang pelajar lelaki dan perempuan berusia 11 tahun dari sekolah agama terbabit, tetapi seorang daripadanya menghidap asma.

“Enam lagi mangsa yang dimasukkan ke wad hospital itu lebih awal telah dibenarkan pulang.”