Ada pihak bergilir jaga kaunter ketika jamuan raya, TPM beritahu mufti Perlis

Wan Azizah Wan Ismail (duduk, tengah) menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 di Muzium Negara, hari ini.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, majlis rumah terbuka Aidilfitri di peringkat kementerian tidak akan mengganggu urusan di jabatan kerajaan kerana pihak tertentu akan mengambil giliran untuk menjaga jabatan masing-masing ketika jamuan diadakan.

“Ada organisasi-organisasi yang kita dapatkan untuk jaga kaunter-kaunter,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 di Muzium Negara hari ini.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.

Wan Azizah mengulas kenyataan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin semalam yang meminta Putrajaya menilai semula keperluan jabatan kerajaan mengadakan jamuan Aidilfitri setiap tahun.

Katanya, jamuan itu akan menjejaskan urusan di jabatan kerajaan kerana sebahagian besar kakitangan awam akan menghadiri jamuan itu.

Wan Azizah berkata, penganjuran jamuan Aidilfitri bertujuan merapatkan hubungan penjawat awam di pelbagai jabatan kerajaan.

Mengenai rasa tidak puas hati sektor swasta terhadap cadangan bapa diberi cuti “paterniti” selama 3 hari, Wan Azizah berkata: “Kita akan berbincang lagi.”

Semalam, media tempatan melaporkan Kementerian Sumber Manusia akan meminda Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pekerja wanita di sektor swasta menikmati cuti bersalin selama 90 hari berbanding 60 hari.

Kementerian itu juga akan meminda akta sama bagi membolehkan bapa turut diberi cuti “paterniti” selama 3 hari.