Lemang gergasi dijual RM4,000 di Muktamar PAS

Sebatang lemang panjang yang bersaiz 1.8m berjaya dijual pada harga RM4,000 hasil lelongan di Muktamar Tahunan PAS ke -64 di Stadium Tertutup Sukan Pahang (Sukpa) hari ini.

Hasil penjualan lemang itu akan disalurkan kepada pembukaan markas PAS cawangan Pos Lenai, Cameron Hinglands terdiri kalangan Orang Asli yang baru ditubuhkan semalam.

Timbalan Pengerusi Tetap, Kamal Ashaari yang mengendalikan acara itu membuka bidaan pada harga RM200.

Pada lelongan itu, Muslimat PAS hampir berjaya menjadi pembida tertinggi apabila mereka sanggup membayar lemang tersebut pada harga RM3,000.

Bagaimanapun lemang itu menjadi milik PAS Kuala Nerus yang menjadi pembida paling tinggi iaitu pada harga RM4,000.

Upacara penyerahan lemang itu disempurnakan oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS, Cameron Highlands, Wan Mahadir Wan Mahmud, berkata dana yang diperolehi daripada lelongan tersebut akan digunakan bagi menyiapkan markas.

Katanya, selain membiayai aktiviti mereka di Pos Lanai.

Mengulas mengenai lemang itu, Wan Mahadir berkata, lemang tersebut 100 peratus asli dan dibakar selama lebih 10 jam.

“Ia adalah lemang yang asli 100 peratus dan dibakar selama 10 jam disini.

“Lemang ini siap dibakar pagi tadi dengan menggunakan 2.5 kilogram beras pulut,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]