Majlis Syura lulus kerjasama politik dengan Umno sebelum Muktamar PAS, kata Hadi

Hadi Awang.

KUANTAN: Majlis Syura Ulama PAS meluluskan secara dasar usul kerjasama politik dengan Umno sebelum dibawa ke Muktamar PAS ke-65 hari ini.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata usul itu dibawa ke muktamar kali ini untuk mendapat mandat perwakilan.

“Ia sudah dibincang dalam Majlis Syura Ulama dan usul ini hanya untuk disahkan dalam muktamar. Dari segi politik, sudah dibincang Majlis Syura.

“Dalam perlembagaan kita, keputusan itu mesti diizinkan perwakilan muktamar. Garis panduan secara dasar sudah dipersetujui,” katanya pada sidang media selepas Muktamar PAS ke-65 hari ini.

Usul taawun dan tahaluf siyasi dengan Umno itu yang dibentangkan perwakilan Dewan Ulama PAS, Asri Mat Daud, diterima sebulat suara oleh perwakilan Muktamar PAS petang tadi.

Penerimaan usul itu dilihat mungkin membuka jalan kepada pembentukan gabungan politik baru.

Video seks sejenis

Hadi menggesa pihak berkuasa menyiasat dalang yang menyebarkan beberapa klip video 2 lelaki mengadakan hubungan seks sejenis kerana ia lebih penting daripada mencari pelakunya.

“Saya cadang pihak polis cari siapa pengedar, bukan pelakon, yang penting cari penerbit,” katanya yang berseloroh PAS sedia membantu menyelesaikan kemelut video seks sejenis itu yang menyasarkan seorang menteri kanan.