Malaysia akan jadi Singapura ke-2 jika terus didominasi DAP, kata perwakilan PAS

Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, agenda Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP akan mengetepikan hak orang Melayu dan menghapuskan semua kontrak sosial untuk menjadikan semua kaum dalam negara ini setaraf.

KUANTAN: Seorang perwakilan PAS memberi amaran Malaysia akan menjadi Singapura ke-2 jika tampuk pemerintahan negara terus didominasi DAP.

Perwakilan Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir turut melabelkan DAP sebagai jelmaan Parti Tindakan Rakyat yang diketuai mendiang Lee Kuan Yew.

Katanya, berdasarkan pengalaman PAS bekerjasama dengan DAP di Selangor, parti itu jelas menunjukkan dominasinya dalam setiap pentadbiran tanpa meletakkan Islam serta kepentingan orang Melayu sebagai agenda perjuangan mereka.

“DAP kini berpengaruh dan dominan dalam kerajaan. Kami dari Selangor tahu sangat kerana sepanjang 2 penggal kami bersama mereka dalam kerajaan negeri, apa yang tidak kami lihat dan rasai.

“Sedar tidak sedar, dalam keghairahan percayakan janji-janji Pakatan Harapan jatuhkan Najib Razak, jatuhkan Barisan Nasional dan tolak PAS, rupa-rupanya yang naik dan buat pertama kali berkuasa adalah jelmaan mendiang Lee Kuan Yew.

“Ancaman besar kalau kita lalai dan lupa, habis binasa maruah serta negara kita tergadai. Tak mustahil kita jadi Singapura ke-2,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Muktamar PAS ke-65.

Beliau berkata, agenda Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP akan mengetepikan hak orang Melayu dan menghapuskan semua kontrak sosial untuk menjadikan semua kaum dalam negara setaraf, khususnya orang Melayu.

“Malaysian Malaysia adalah antitesis atau bertentangan dengan Malay Malaysia. Kemudian agenda DAP adalah memisahkan agama daripada pentadbiran kerajaan.

“Bagi mereka, janji perjuangan mereka adalah kekalkan Perlembagaan Persekutuan sebagai perlembagaan sekular.”

Kerjasama Umno-PAS

Roslan berkata, rakyat menganggap kerjasama Umno-PAS ialah formula terbaik yang mampu menumbangkan PH dan mengangkat parti yang membela nasib agama, bangsa dan negara.

“Jangan kita sia-siakan harapan mereka. Pengalaman kami di pilihan raya kecil Semenyih, semua pengundi Melayu tidak teragak-agak memberi sokongan secara terbuka apabila melihat PAS dan Umno bekerja bersama kerana inilah yang mereka tunggu-tunggu.”

Sementara itu, perwakilan Johor, Ahmad Al Johari Mohd Yusof berkata, beberapa perkara penting perlu diambil kira dalam menentukan isi kandungan piagam kerjasama Umno-PAs.

“Macam mana kita nak selarikan persetujuan dalam piagam ini dengan perjuangan. Adakah semata-mata untuk capai kemenangan dalam PRU15?

“Pengalaman lepas juga perlu diambil kira, kebimbangan terhadap kelestarian perjanjian tersebut perlu dihuraikan. Adakah konsep setuju untuk tidak bersetuju akan diteruskan?” soalnya.

Beliau berkata, ketika ini rancangan untuk mewujudkan piagam muafakat antara PAS dan Umno ialah mendapat maklum balas positif rakyat.

“Perkataan baru yang menghantui PH ialah piagam muafakat politik PAS dan Umno dalam masa terdekat.

“Kelam kabut kepimpinan PH beri komen khususnya daripada Amanah.”