PAS berisiko pecah kali ke-2 jika ahli tidak faham kerjasama PAS-Umno, kata perwakilan
Perpecahan juga boleh berlaku dalam Umno kerana ada pihak cuba mengagalkan kerjasama PAS-Umno yang sedang dibentuk.
KUANTAN: Gelombang kedua perpecahan dalam PAS berkemungkinan boleh berlaku jika penerangan jelas berhubung kerjasama penyatuan ummah yang dibina bersama Umno ketika ini tidak dilaksanakan dengan baik.
Peringatan itu diberikan perwakilan PAS Kedah, Ahmad Yahya yang berkata, perkara sama juga boleh berlaku dalam Umno kerana ada pihak tertentu cuba menggagalkan kerjasama yang sedang dibentuk.
“Andai kita gagal laksanakan 2 tugas, iaitu untuk beri kefahaman dan wala’ (setia), nescaya kita berhadapan dengan cabaran di hadapan.
“Akan berjayalah pihak yang berusaha mencari orang yang tak puas hati dalam kalangan ahli PAS dan Umno terhadap kerjasama ini untuk bentuk satu lagi parti baru. Maka akan berlaku lagi perpecahan dalam kalangan kita.
“Hati-hati, jangan biar sejarah berulang. Akan ada ‘penebuk kapal’ yang baru dalam jemaah ini. Pelihara dan jagalah agar kesatuan yang kita nak bina di luar sana mesti bermula dari dalam jemaah kita ini,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar PAS ke-65 di sini, hari ini.
Dalam ucapan sama, Ahmad berkata, penyatuan ummah yang dibentuk bersama-sama dengan Umno bukanlah bertujuan mengejar kuasa, sebaliknya demi menyatukan orang Melayu-Islam di negara ini.
Katanya, hasil penyatuan itu boleh dilihat dalam pelbagai bidang, termasuklah kejayaan memenangi 3 pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung sebelum ini.
“Satu demi satu kejayaan boleh dilihat oleh rakyat dan masyarakat (daripada penyatuan). Kejayaan boleh dilihat dalam PRK Cameron Highlands, Rantau dan sehingga Semenyih.
“Sehingga ada yang berbisik, tidak ada lagikah Adun Pakatan Harapan (PH) yang akan meninggal dunia? Kita tidak tahu Kita tidak tidak ada kontak dengan malaikat,” katanya lagi.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang ketika menjawab soalan pemberita selepas menyampaikan ucapan dasarnya semalam mengakui, terdapat ahli daripada kedua-dua parti, PAS dan Umno, yang masih fobia antara satu sama lain.
Mengaitkan keadaan itu kepada pengalaman persengketaan lampau antara 2 parti tersebut, Hadi bagaimanapun memberi jaminan ia akan dapat diatasi.
Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa PAS tidak akan menuntut kedudukan sebagai ketua kerjasama politik tersebut walaupun terdapat beberapa perwakilan sayap Pemuda dan Ulama parti itu menggesa ia memimpin kerjasama dengan Umno.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Hadi sebaliknya tidak menolak kemungkinan pihak ketiga, selain daripada Umno dan PAS, yang akan mengetuai kerjasama tersebut.