PAS sebulat suara lulus usul jalin kerjasama politik dengan Umno

Perwakilan Dewan Ulama PAS, Asri Mat Daud mengemukakan usul taawun dan tahaluf siyasi dengan Umno yang diterima sebulat suara perwakilan Muktamar PAS ke-65 hari ini.

KUANTAN: Muktamar PAS hari ini sebulat suara menerima usul menjalin kerjasama politik dengan Umno, selepas kerjasama rasmi dengan parti itu di peringkat Parlimen dan pilihan raya kecil pada Mac lalu.

Penerimaan Usul itu dilihat mungkin membuka jalan kepada pembentukan gabungan politik baru.

Usul taawun dan siyasi dengan Umno itu dibentangkan perwakilan Dewan Ulama PAS, Asri Mat Daud yang diterima sebulat suara perwakilan Muktamar PAS yang bertindak berdiri untuk menyokongnya.

Usul itu diluluskan mengikut Fasal 6 Perkara (6) perlembagaan PAS.

Selain Dewan Ulama, usul itu turut dikemukakan 6 bahagian PAS, iaitu Pandan, Kota Raja, Serdang, Kuala Pilah, Sungai Besar dan Temerloh.

“Dewan Ulama PAS dan 6 lagi kawasan mengusulkan agar pimpinan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama memeterai taawun dan tahaluf siyasi dengan Umno dan parti-parti politik lain.

“Dalam masa sama, (ia) hendaklah menetapkan garis panduan asas, syarat-syarat dan batas kerjasama politik dengan parti politik tersebut, manakala hubungan parti komponen Gagasan Sejahtera hendaklah diperkasakan,” katanya ketika sesi perbahasan usul pada Muktamar PAS ke-65 hari ini.

Pada 5 Mac lalu, Umno mengesahkan kerjasama rasmi dengan PAS di peringkat Parlimen dan setiap PRK, selepas meneliti hala tuju kedua-dua parti serta senario politik tempatan.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pada 7 Mac lalu memberi jaminan kedua-dua parti itu tidak akan bergabung, sebaliknya mereka hanya menjalin kerjasama rasmi demi penyatuan ummah.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pula dilaporkan berkata, kerjasama Umno-PAS untuk menyatukan parti Melayu, tetapi mereka tidak akan mengancam atau mengabaikan kaum lain kerana orang Melayu berpecah dari segi politik, tetapi bukannya kaum lain.

Asri berkata, PAS pernah bekerjasama dengan DAP dan tidak salah untuk parti Islam itu menjalin kerjasama politik dengan Umno.

“Umno bukan lagi kerajaan, kita sama-sama pembangkang. Umno parti politik teras dalam negara dan golongan yang turut memperjuangkan agama, kita ada tautan agama.

“Dulu kita tahaluf dengan DAP, maka tak salah untuk kita tahaluf dengan Umno dan rakan NGO yang boleh terima dasar serta syarat yang diberikan PAS.”

Usul itu turut dibahas 3 perwakilan.

Perwakilan PAS dari Rembau, Bazli Bakar berkata, ada jurang perbezaan besar antara maksud taawun dan tahaluf siyasi, jadi kepimpinan parti perlu menjelaskan kepada ahli aspek ketelusan dalam memeterai kerjasama politik dengan Umno.

Wakil PAS Bangi, Shafie Ngah berkata antara aspek yang perlu diteliti dalam memeterai kerjasama politik dengan Umno ialah batas dan pengurusan organisasi.

“Jangan sampai rumah tangga dimasuki orang dan sebaliknya, apabila kita sudah memeterai taawun serta tahaluf siyasi dengan Umno.

“Ini kerana ketika ini ada mesyuarat cawangan PAS yang dirasmikan pimpinan parti lain, iaitu Umno, justeru garis panduan bagi memperincikan perkara ini harus dirangka,” katanya ketika membahaskan usul kerjasama politik Umno-PAS.