Pasaran ekuiti positif, Bursa Malaysia dijangka uji paras 1,700 minggu depan

Momentum menggalakkan sepanjang minggu lepas menyebabkan FBM KLCI berada tinggi sedikit daripada aliran menurun jangka sederhana. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka menguji paras 1,700 minggu depan, menjejaki prestasi positif pasaran ekuiti global, dipacu oleh sentimen kadar faedah rendah Rizab Persekutuan (FED) Amerika Syarikat (AS), kata Phillip Capital Management.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) bagi Asia-Pasifik Nazri Khan Adam Khan berkata, aliran meningkat pasaran ekuiti AS ketika ini selari dengan kenyataan Fed, yang dilaksanakan untuk mewujudkan keseimbangan menjelang perbincangan perjanjian perdagangan AS-China, dijadual berlangsung pada Sidang Kemuncak G20 lewat bulan ini.

“Langkah Fed itu turut menyebabkan hasil bon kerajaan AS mencecah paras terendah sejak 3 tahun lepas manakala dolar terus menyusut.

“Kami percaya dengan peningkatan ketidaktentuan terhadap unjuran ekonomi global, pelabur berharap ini akan dikuti dengan pengurangan kadar itu pada bulan depan,” katanya kepada Bernama.

Dari segi teknikal, momentum menggalakkan sepanjang minggu lepas menyebabkan FBM KLCI berada tinggi sedikit daripada aliran menurun jangka sederhana.

Ini menunjukkan penerusan aliran positif sejak indeks meningkat semula dengan kukuh bagi purata garisan pergerakan bagi tempoh lebih 50 hari bulan lepas, manakala corak “bertukar kepada positif” menunjukkan perubahan aliran daripada menurun kepada meningkat, katanya.

Nazri Khan juga berkata, aliran positif baru-baru ini turut merebak kepada komoditi yang menyaksikan sektor tenaga mencatatkan prestai terbaik dalam Indeks S&P 500 dengan minyak mentah Brent mencatatkan kenaikan tinggi sebanyak 3.6% – 1 daripada prestasi terbaik bagi tahun ini.

Lonjakan besar dalam nilai minyak mentah berlaku selepas Iran dilaporkan menembak jatuh dron pemantauan AS yang meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Bursa Malaysia didagangkan berhati-hati awal minggu ini berikutan pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat bagi pengurangan kadar faedah oleh Fed dan selepas itu meningkat susulan Fed mengekalkan kadar faedahnya.

Pelabur percaya lambat laun kadar faedah akan dikurangkan.

Bank Jepun turut mengikut langkah Fed untuk mengekalkan status quo kadar faedahnya, tetapi bank pusat Jepun itu berkata ia akan menggabungkan pengurangan kadar faedah dengan pembelian aset lebih besar jika perlu untuk memastikan ekonomi berada di landasan (untuk mencapai sasaran inflasi 2 peratus).

Sentimen pasaran Bursa Malaysia yang positif turut dipacu oleh pengumuman Presiden AS Donald Trump bahawa dalam waktu terdekat beliau akan bertemu Presiden China Xi Jinping untuk membincangkan cara untuk meredakan ketegangan perdagangan antara mereka.

Pada asas Jumaat-Jumaat, penanda aras FBM KLCI melonjak 43.60 mata kepada 1,682.23, mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih 4 bulan.

Indeks FBM Emas melonjak 284.86 mata kepada 11,849.51, Indeks FBMT 100 meningkat 263.59 mata kepada 11,704.01 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 422.18 mata kepada 12,210.42.

Indeks FBM Ace menokok 9.80 mata kepada 4,397.34 dan FBM 70 naik 318.07 mata kepada 14,699.1.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 15.09 mata kepada 16,746.56, Indeks Perladangan meningkat 148.46 mata kepada 7,019.54 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.77 mata kepada 162.12.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 10.56 bilion unit bernilai RM10.81 bilion daripada 10.07 bilion unit bernilai RM9.07 bilion yang dicatatkan minggu lepas.

Jumlah dagangan di pasaran utama turun kepada 6.14 bilion saham bernilai RM9.58 bilion berbanding 6.32 bilion saham bernilai RM8.11 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 2.11 bilion unit bernilai RM584.28 juta berbanding 2.29 bilion unit bernilai RM500.22 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 1.84 bilion saham bernilai RM633.37 juta berbanding 1.45 bilion saham bernilai RM455.11 juta.