Penganalisis: Pulih hak Orang Asli dulu, peluk Islam kemudian

Pensyarah USM Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, keutamaan sekarang ialah memulihkan hak Orang Asli yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

PETALING JAYA: Seorang pensyarah sains politik berkata, kerajaan negeri pimpinan PAS di Kelantan perlu mendahulukan pemulihan hak Orang Asli, bukannya mengajak mereka memeluk agama Islam.

“Jika sekarang PAS berfikir mahu berdakwah kepada Orang Asli, maka keutamaannya ialah memulihkan hak penduduk pribumi ke atas tanah dan sumber asli mereka yang dijamin oleh perlembagaan,” kata Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM).

“Ini adalah dakwah ‘bil-hal’ atau dakwah melalui contoh teladan, bukan dengan ‘berlagak suci’ dan melayan mereka secara paternalistik,” katanya kepada FMT.

Dilaporkan bahawa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bercadang mengislamkan semua Orang Asli di negeri itu dalam tempoh 30 tahun.

Akhbar Utusan Malaysia memetik Timbalan Yang Dipertua Maik, Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, kira-kira 5,000 daripada 16,000 Orang Asli di negeri itu kini adalah orang Islam.

Azlan berkata, terdapat lebih 100 pendakwah dan pekerja komuniti Maik di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang ditugaskan menjaga kebajikan Orang Asli dan memberi pendidikan kepada mereka.

“Rancangan kami ialah mempunyai 500 orang akhir tahun ini. Kita boleh berdakwah dan insyaAllah dalam 30 tahun semua Orang Asli di negeri ini akan memeluk Islam,” katanya.

Fauzi berkata, rekod kerajaan pimpinan PAS di Kelantan dalam menangani Orang Asli tidaklah terlalu baik.

Katanya, kerajaan negeri itu terus menafikan hak tanah adat Orang Asli dengan membenarkan syarikat pembalakan memasuki kawasan seperti di Gua Musang yang merosakkan kredibiliti PAS di mata masyarakat pribumi di Kelantan.

“Bagi ramai Orang Asli, imej orang Melayu sebagai ‘penjajah’ kekal dalam fikiran mereka.

Tiljah Yak Chopil.

“Salah urus hak tanah Orang Asli oleh kerajaan negeri sebelum ini hanya akan menyebabkan mereka terus meragui Islam kerana PAS selalu mendakwa ia mewakili agama itu,” katanya dengan menambah bahawa ia tidak menguntungkan Islam yang bersifat inklusif secara semula jadinya.

Dalam pada itu, aktivis Orang Asli, Tiljah Yak Chopil, yang merupakan pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia berkata, kerajaan negeri harus menghormati hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pemelukan agama secara paksa, asimilasi atau aktiviti dakwah berterusan ke atas individu atau kumpulan adalah salah dari segi moral dan etika hak asasi manusia.

Tiljah berkata, dalam konteks komuniti suku Batek di Kelantan, jelas mereka memeluk Islam walaupun tidak benar-benar memahami atau mengamalkan agama itu.

“Sebagai contoh, mereka masih mengamalkan adat pengebumian mengikut resam suku Batek,” katanya.

Beliau berkata, rancangan Maik itu hanya akan menambah persepsi negatif terhadap suku Batek dan menunjukkan pihak yang bertanggungjawab mengislamkan mereka tidak benar-benar mendidik kelompok itu.

Tiljah berkata, keutamaannya bukanlah pemelukan agama, tetapi mengatasi masalah kekurangan infrastruktur asas Orang Asli seperti pendidikan dan kemajuan kendiri.

“Agama boleh datang kemudian, selepas semuanya terpelihara dan mencukupi.

“Sekarang Orang Asli perlukan hak tanah adat mereka dan tidak diganggu bagi membolehkan mereka membangunkan ekonomi dan memulihara kebudayaan, pengetahuan warisan, sejarah dan leluhur mereka supaya dapat hidup aman, sihat dan selamat,” katanya.

Colin Nicholas.

Tiljah berkata, kes kematian dan penyakit dalam kalangan Orang Asli di Kampung Kuala Koh di Gua Musang menunjukkan pihak berkuasa tidak benar-benar tahu tentang langkah yang perlu diambil bagi menjaga kebajikan komuniti itu.

“Keadaan yang berlaku berpunca daripada kelemahan dalam penyediaan infrastruktur kepada Orang Asli dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” katanya.

Pengarah eksekutif Center for Orang Asli Concern, Colin Nicholas memberi amaran bahawa pemelukan agama tertentu tidak bermakna kehidupan Orang Asli akan menjadi lebih baik.

“Kampung Kuala Koh merupakan contoh klasik,” katanya.

Beliau berkata, pemelukan agama sepatutnya menjadi pilihan peribadi dan tidak harus “dipaksakan” ke atas mana-mana orang atau kumpulan.