Perwakilan dewan penyokong PAS sokong UEC dalam muktamar

Wakil DHPP Kong Tuck Wah memberitahu muktamar PAS ke-65 hari ini bahawa sayap penyokong parti itu menyokong UEC kerana ia merupakan isu pendidikan yang tidak seharusnya dipolitikkan.

KUANTAN: Perwakilan Dewan Himpunan Penyokong (DHPP) PAS Kong Tuck Wah secara terbuka berkata sayap bukan Islam parti itu menyokong pengiktirafan sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Persendirian Cina(UEC).

Kong berkata, isu pendidikan dan agama tidak seharusnya dilibatkan dalam politik kerana kedua-duanya amat sensitif.

“Kami di DHPP kita sokong UEC. Isu agama dan pendidikan sensitif dan tak perlu diguna sebagai senjata politik dan dijadikan ugutan. Ia sepatutnya dihormati,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar PAS ke-65, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Kong menyeru agar perwakilan PAS tidak membenci orang Cina dalam DAP, sebaliknya yang harus dibenci katanya adalah “bangsa DAP”.

“Jangan marah Cina DAP. Kalau nak marah, marah ‘bangsa DAP’. Banyak orang Cina dan India tak sokong DAP, kalau nak marah juga marah ‘bangsa DAP’,” katanya.

Kong juga berharap kepimpinan PAS dapat mengiktiraf ahli sayap penokong itu sebagai ahli penuh bagi membolehkan mereka mengundi dalam pemilihan parti.

“DHPP mainkan peranan penting dalam parti. Kita minta jadi ahli penuh. Kita DHPP pun boleh undi dalam pemilihan parti,” katanya.

Sementara perwakilan PAS Pahang Tarmizi Yahya dalam perbahasannya sebelum itu berkata, sekolah vernakular gagal melahirkan warganegara yang setia.

Katanya, pengiktirafan UEC hanya membentuk warganegara yang tidak sayangkan negara kerana ia merupakan sistem yang diceduk dari negara luar.

“Kementerian Pendidikan patut engkaji sistem pendidikan di sekolah vernakular kerana sekolah persendirian ini gagal melahirkan rakyat yang setia.

“Ramai dalam kalangan mereka berani hina Yang di-Pertuan Agong dan institusi beraja, campur urusan agama dan pertikai hak Melayu dan mencampuri urusan sensitif,” katanya.

Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan kegagaln sistem pendidikan yang perlu dikaji secara teliti oleh kementerian.

“Ini kegagalan sistem pendidikan yang ada yang patut dikaji semula. Antaranya pengiktirafan UEC yang kita tahu bukan sistem pendidikan negara, diambil dari luar menjadikan rakyat seolah-olah tidak sayangkan negara sendiri,” katanya.