Petronas: Asas kami kukuh walau penarafan Moody’s turun

Keuntungan selepas cukai Petronas berkembang 9% tahun ke tahun kepada RM14.2 bilion pada Q1 2019 dipacu hasil 7% lebih tinggi sebanyak RM62 bilion.

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menegaskan asas kukuhnya kekal tidak berubah walaupun penarafan kreditnya diturunkan oleh Moody’s Investors Service.

Dalam kenyataan semalam, syarikat minyak negara itu berkata, ia secara konsisten mengekalkan dasar kewangan konservatif dan imbangan tunai bersih sihat yang membolehkannya menahan ketidaktentuan dan kejutan dalam pasaran.

“Ini ditunjukkan oleh keputusan kewangan Petronas pada suku pertama (Q1) 2019 dan tahun penuh 2018, yang disokong usaha berterusan kami untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kecemerlangan komersial,” katanya.

Keuntungan selepas cukai Petronas berkembang 9% tahun ke tahun kepada RM14.2 bilion pada Q1 2019 dipacu hasil 7% lebih tinggi sebanyak RM62 bilion.

Moody’s semalam mengumumkan bahawa ia menurunkan penarafan penerbit domestik dan mata wang asing senior tidak bercagar Petronas kepada A2 (stabil) daripada A1 (negatif).

Pengumuman itu dibuat selepas penerbitan metodologi rentas sektor yang dikemas kini, “Menilai Impak Kualiti Kredit Kerajaan pada Penilaian Lain”, pada 20 Jun.

Di bawah metodologi baru itu, Petronas berkata, adalah tidak mungkin untuk syarikat itu diberi penarafan 2 kedudukan melepasi kedudukan negara Malaysia.

Berdasarkan penilaian Moody yang dikemas kini, Petronas tidak lagi memenuhi 1 daripada ciri yang diperlukan untuk meningkatkan 2 kedudukan melepasi kedudukan negara Malaysia (stabil A3).

Ini disebabkan hubungan kredit syarikat dengan kerajaan Malaysia sebagai pemegang saham tunggalnya dan bahawa Moody’s tidak dapat menolak kemungkinan permintaan dividen tinggi pada masa depan, katanya.

Petronas berkata, tindakan penarafan itu juga dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung kesan negatif ke atas syarikat yang mungkin timbul daripada perbincangan yang sedang berlangsung berkaitan dengan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

Penarafan A2 (stabil) Petronas kini 1 kedudukan melepasi kedudukan negara Malaysia didorong oleh kekukuhan metrik kewangan, dasar kewangan konservatif, profil mudah tunai kukuh dan rizab hidrokarbon yang ketara, tambahnya.