PKR masih tunggu Haziq jawab surat tunjuk sebab

Fahmi Fadzil berkata, mungkin isu klip video seks sejenis dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR esok.

KUALA LUMPUR: PKR belum menerima jawapan daripada Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz selepas surat tunjuk sebab dikeluarkan Khamis lalu susulan pengakuannya terbabit dalam beberapa klip video hubungan seks sejenis.

“Belum lagi, saya rasa kita ada mesyuarat Biro Politik esok (Ahad), mungkin kita akan bincang mengenai perkara ini,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di sini, malam ini.

Lembaga Disiplin PKR dilaporkan memberi 14 hari kepada Haziq untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar kepadanya Khamis lalu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasim dilaporkan berkata, surat itu dikeluarkan kerana Haziq mencemar nama parti dengan pengakuannya mengadakan hubungan seks sejenis dengan seorang individu didakwa menteri kanan.

Hari ini, Fahmi menafikan PKR seakan-akan perlahan dan memberi peluang kepada Haziq selepas membuat pengakuan menggemparkan seluruh negara pada 12 Jun lalu.

Katanya, PKR tidak mahu mendahului siasatan pihak berkuasa berhubung beberapa klip video seks sejenis itu.

“Kita beri ruang kepada pihak berkuasa dan kita akan ambil tindakan bila ada hasil siasatan dari pihak berkuasa.”