Polis: 9 mangsa culik Lahad Datu bebas di selatan Filipina

Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah berkata, nasib seorang lagi mangsa culik tidak diketahui. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Sembilan daripada 10 mangsa culik di perairan Tambisan Lahad Datu pada Selasa lepas telah dibebaskan oleh penculik dan kini berada dalam kawalan pihak keselamatan di selatan Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara berkenaan dan perbincangan lanjut bersama pihak berkuasa Filipina sedang dijalankan kerana mangsa yang diculik tidak mempunyai dokumen.

“Perbincangan akan dijalankan sebelum keputusan (sama ada mereka dibawa kembali ke Sabah) dibuat kerana mereka (mangsa) tidak mempunyai dokumen.

“Pihak berkuasa Filipina terjumpa mangsa di tepi jalan di sebuah pekan di pulau selatan Filipina pada pukul 10 malam semalam kerana mereka berjalan dalam kumpulan setelah dibebaskan penculik yang mendapat tahu mereka (mangsa) tidak mempunyai duit untuk membayar (tebusan),” katanya.

Omar berkata, nasib seorang mangsa lagi masih belum diketahui.

Mengulas laporan akhbar tempatan yang menyatakan bahawa mangsa yang diculik bukan orang Bajau Laut, pesuruhjaya polis Sabah berkata pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai perkara itu.

Sementara itu, di Semporna, isteri kepada seorang daripada mangsa culik, Hamidah Lallah, 22, berkata dia menerima maklumat berkenaan daripada abang iparnya yang datang ke kediamannya pagi tadi.

“Abang ipar saya terima panggilan berhubung pembebasan itu pada 11 pagi tadi. Mungkin mereka sekarang dengan tentera (Filipina) di sana,” katanya.

Bagaimanapun, Hamidah berkata tidak dapat memastikan sama ada 9 mangsa yang dibebaskan itu termasuk suaminya, Abdul Nasir Nuli (Inai).

Sehingga kini, beliau belum lagi dihubungi polis berhubung perkara itu.

Pada 18 Jun lepas, seramai 10 daripada 16 kru 2 bot nelayan di perairan Tambisan Lahad Datu dilaporkan diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata ketika mereka mahu menuju ke Semporna.

Dalam kejadian 2 pagi itu, 10 nelayan berkenaan dilarikan ke selatan Filipina, manakala 6 nelayan lagi terselamat.