Wabak campak dedah cabaran jaga kebajikan Orang Asli

Komuniti Orang Asli di Pos Lejang, Pahang. Usaha untuk sampai ke kawasan petempatan mereka yang jauh ke pedalaman merupakan cabaran besar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perjalanan jauh ke kawasan petempatan Orang Asli merupakan perkara biasa bagi Dr Madhusudhan Shanmugam yang mengendalikan Klinik Bergerak Teddy sejak 2015 bersama-sama pasukan doktor sukarelawannya.

“Pada satu perjalalan, kami masuk jauh ke daerah Raub, Pahang, untuk sampai ke sebuah kampung Orang Asli. Tidak ada jalan yang baik dan sebilangan sukarelawan yang tidak menaiki kenderaan pacuan 4 roda terpaksa turun dan meredah lumpur,” katanya.

Namun bukan ini sahaja cabaran yang terpaksa dihadapi pasukan perubatan, sama ada NGO atau kerajaan, dalam memberi khidmat perubatan kepada komuniti Orang Asli.

“Ada dalam kalangan Orang Asli yang keberatan menjalani pemeriksaan bila kami ke sana. Ada masanya tidak sampai 10 atau 15 pesakit kerana mereka sukar mempercayai orang luar,” kata beliau.

Madhusudhan, yang merupakan seorang doktor swasta berkata, beliau maklum tentang cabaran yang dihadapi oleh pihak berkuasa, selain sedar usaha membina hubungan kepercayaan dengan Orang Asli akan mengambil masa.

“Bagi saya, NGO merupakan harapan terbaik, terutama yang bekerja rapat dengan komuniti Orang Asli dalam bidang seperti pertanian dan pendidikan. Mereka boleh menjadi jambatan penghubung antara Orang Asli dengan kerajaan.”

Cabaran itu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sebuah badan pemikir berkata, penularan wabak campak di Kampung Kuala Koh di Gua Musang baru-baru ini mendedahkan kesukaran yang dihadapi agensi kerajaan yang memberi perkhidmatan kepada komuniti di kawasan pedalaman terpencil dan sering berpindah randah.

Tiga penduduk kampung disahkan meninggal dunia kerana penyakit campak, sementara punca kematian 12 lain yang dikebumikan sebelum post mortem sempat dijalankan masih tidak diketahui.

Kementerian Kesihatan mendedahkan hanya 61.5% penduduk kampung berkenaan mendapat suntikan pertama vaksin campak, beguk dan rubella (MMR), sementara hanya 30% mendapat suntikan ke-2.

Pengguna media sosial mengkritik kerajaan berhubung keadaan itu dan mendakwa ia kurang berjaya melindungi kepentingan Orang Asli.

Ketua pegawai eksekutif Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, liputan imunisasi MMR yang rendah merupakan salah satu isu yang memberi kesan ke atas komuniti tersebut. Masalah pemakanan tidak seimbang adalah isu ke-2.

“Bagaimanapun kita tidak perlulah menyalahkan mana-mana pihak berhubung keadaan itu.

“Ia tugas yang sangat sukar, terutama sekali kerana komuniti itu hidup berpindah-randah,” katanya kepada FMT.

Azrul berkata, langkah maju dalam isu ini ialah melatih dan menempatkan pekerja kesihatan dalam kalangan komuniti Orang Asli sendiri.

Secara idealnya, ia seharusnya merupakan individu yang dikenali dan dipilih dalam kalangan komuniti terbabit dan dilatih memberikan penjagaan kesihatan asas serta maklumat mengenai isu pencegahan dan kesihatan umum.

“Ia akan membantu usaha mengenal pasti masalah seperti penularan penyakit yang memerlukan penjagaan kesihatan moden dan membolehkan pekerja kesihatan komuniti Orang Asli meminta bantuan serta memaklumkan keadaan yang berlaku kepada pihak berkuasa,” katanya.

Profesor di Universiti La Trobe Australia, Alberto Gomes berkata, isu kesihatan Orang Asli perlu ditangani secara holistik.

Katanya, masalah kesihatan Orang Asli tidak berpunca daripada cara hidup mereka semata-mata, tetapi kerana mereka menerima kesan drastik akibat kemiskinan, penyingkiran dan eksploitasi.

“Ia adalah masalah jangka panjang yang memerlukan penyelesaian jangka panjang. Ia tidak terhad kepada masalah kesihatan semata-mata kerana isu ekonomi, budaya, ekologi dan sosial juga mempengaruhi kesihatan mereka,” kata Gomes, yang telah mengkaji masyarakat Orang Asli selama 40 tahun.

Beliau berkata, peluang ekonomi yang terhad, pencemaran sumber air serta petempatan yang sesak dan serba kekurangan menyumbang kepada tahap kesihatan Orang Asli yang rendah.

“Ramai yang tidak ada pendapatan yang mencukupi. Dulu keadaan ini tidak membimbangkan kerana kehidupan mereka bergantung pada alam sekitar. Namun kini sebahagian besar tanah mereka telah tiada dan hutan ditebang. Bila pendapatan tidak cukup, makanan juga kurang,” kata beliau.

Gomes berkata, pencemaran juga mengakibatkan kualiti air merosot dan memberi kesan ke atas kesihatan Orang Asli.

Katanya, penyelesaian jangka panjang seperti memastikan Orang Asli mempunyai hak ke atas tanah, melindungi hutan daripada aktiviti pembalakan dan perlombongan serta eksploitasi syarikat sangat diperlukan.