Akta baru ganti Auku rai kebebasan akademik, autonomi universiti, kata Maszlee

Maszlee Malik berkata, beberapa akta lain akan digubal untuk memberi kebebasan akademik dan autonomi kepada universiti.

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, kementeriannya sedang menggubal akta baru menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) dan beberapa akta lain untuk memberi kebebasan akademik dan autonomi kepada universiti.

Katanya, ia selaras janji kerajaan Pakatan Harapan untuk mengembalikan kewibawaan universiti dengan pemansuhan Auku.

Beliau berkata, langkah itu termasuk mengadakan struktur tadbir urus baru dan pembiayaan lebih cekap lagi mapan dalam usaha meraikan kebebasan akademik serta autonomi universiti.

Maszlee berkata, kerajaan mesti mengubah fungsi daripada kawalan ketat ke atas universiti kepada pembuat dasar dan kawal selia yang “lebih fasilitatif”.

“Saya yakin dan percaya pendekatan baru ini akan mengorak langkah baru untuk universiti-universiti kami lebih gah di peringkat antarabangsa,” katanya dalam catatan di Facebook Kementerian Pendidikan hari ini susulan satu mesyuarat selepas beliau menerima dapatan kajian ke arah pemansuhan Auku.

Beliau berkata, antara langkah selepas ini ialah menggubal akta pendidikan tinggi baru untuk menggantikan Auku, Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan akta melibatkan institusi pengajian tinggi yang bersifat akademik.

Sebelum ini, Maszlee menekankan komitmen beliau dan kerajaan memansuhkan Auku yang dijangka dilaksanakan pada 2020.

Katanya, pemansuhan Auku ialah agenda utamanya di Kementerian Pendidikan.

Langkah menghapuskan Auku bermula, selepas Seksyen 15(2)(c) Auku yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, dimansuhkan akhir tahun lalu.