Dr Halimah mahu PAS contohi kejayaan sekolah vernakular

AJK PAS Pusat Dr Halimah Ali menggesa parti itu mencontohi kejayaan sekolah vernakular untuk diterapkan di sekolah dan pusat pendidikan yang dikendalikan parti Islam itu.

KUANTAN: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Halimah Ali berkata parti Islam itu perlu mencontohi kejayaan sekolah vernakular di negara ini.

Katanya, kaum minoriti Malaysia wajar diberi penghargaan kerana gigih memperjuangkan sistem sekolah vernakular sehingga turut menarik minat ibu bapa Melayu dan Islam menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan.

“Memang kalau kita lihat dalam sejarah tidak ada dalam perlembagaan negara kita mengenai sekolah vernakular.

“Saya secara peribadi mengucapkan setinggi-setinggi tahniah kepada mereka yang memperjuangkan sekolah vernakular ini. Walaupun minoriti, mereka bekerja keras menggembleng usaha, dan bersinergi untuk bersama-sama membangunkan sistem pendidikan vernakular sehingga ada orang Melayu Islam menghantar anak ke SJKC dan sedikit ke SJKT.

“Inilah yang patut kita lakukan. Kita ahli-ahli PAS, pimpinan PAS, aktivis pendidikan perlu melihat rukun kejayaan yang mereka lalui itu.

“Kita mahu lihat (kejayaan) di Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam), Striti (Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam), Smiti (Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam), dan KUIZM (Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad).

“Semua ini kita mahu naik taraf supaya ia mencapai satu piawaian tinggi sehingga orang lain akan tabik kepada kita. Kita mahu produk kita mencapai kejayaan terbaik,” katanya ketika bercakap pada sesi penggulungan sempena Muktamar Tahunan PAS ke 65 di Kuantan, hari ini.

Kenyataan Halimah menyusul ucapan perwakilan saya Muslimat parti itu semalam yang mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan sistem pendidikan vernakular di negara ini.

Salamiah Md Nor berkata, ini kerana dasar itu tidak menyumbang kepada perpaduan kaum.

“Saya selaku wakil Dewan Muslimat PAS menyeru dan mengharapkan kerajaan PH mengambil tindakan dan memberhentikan pendidikan vernakular.

“Kita melihat sistem ini tidak merapatkan jurang persefahaman antara kaum,” katanya.

Halimah berkata, sekolah kebangsaan wajar dinaik taraf supaya menjadi sistem pendidikan yang melahirkan umat berkualiti yang terpelihara daripada masalah sosial.

“Kita mahu sekolah kebangsaan menjadi sistem yang melahirkan generasi umat yang tidak berkelahi, tidak terjebak dalam gejala sosial sehingga tak sedar gender sendiri, selain terikut-ikut dengan trend atau budaya kuning.

“Sistem pendidikan yang melahirkan mereka yang faham apakah itu perpaduan walaupun hidup dalam masyarakat majmuk. Ada Cina, ada India, ada Melayu. Kita perlu didik mereka supaya ada jati diri. Boleh, mahu dan mampu menghormati satu sama lain,” katanya.

Muktamar Tahunan PAS ke-65 yang bermula Jumaat dijadualkan berakhir hari ini.