Hishammuddin disoal SPRM 7 jam dalam isu ‘land swap’

Hishammuddin Hussein berkata, beliau sedia didakwa jika terbukti terbabit dalam sebarang salah laku.

PUTRAJAYA: Bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selama 7 jam berhubung isu “land swap” atau pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan.

Katanya, beliau hanya terbabit dalam satu projek “land swap” di Paloh ketika menjadi menteri pertahanan dan berharap SPRM tidak bertindak selektif dalam siasatan ke atas 16 projek itu.

Beliau sedia didakwa jika terbukti terbabit dalam sebarang salah laku.

“Yang lain mereka (SPRM) kena panggillah. Menteri mana yang terlibat, pastikan mereka panggil jugalah.

“Apa yang istimewanya tentang (projek) saya? Siapa sebenarnya yang hilang duit? Siapa dapat kontrak? Siapa yang dapat untung?

“Saya dah beritahu, saya tak ada keuntungan langsung ke atasnya.

“Siapa yang salah, mari lihat kebenarannya. Kalau saya salah, dakwa,” katanya selepas memberi keterangan di ibu pejabat SPRM petang tadi.

Hishammuddin tiba di ibu pejabat SPRM pada 11.03 pagi tadi dengan menaiki Vellfire berwarna hitam.

Beliau ialah bekas menteri Barisan Nasional ke-2 yang dipanggil membantu siasatan isu “land swap” selepas bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi dipanggil agensi anti-rasuah itu pada Khamis lalu.

Pada 9 Mei lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengumumkan 13 daripada 16 projek “land swap” Kementerian Pertahanan membabitkan Najib dan bekas menteri pertahanan sejak 1997.

Katanya, hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) ke atas 16 projek itu turut mendapati kerajaan kerugian lebih RM500 juta disebabkan penilaian tanah lebih rendah daripada nilai pasaran dan pengurusan kontrak yang lemah.

Beliau berkata, 16 projek itu terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan bernilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

Hari ini, Hishammuddin memberi jaminan akan terus memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan itu kerana ia penting untuk kredibiliti dan integriti agensi anti-rasuah itu.

“Kita perlu kerja lebih dekat dengan SPRM untuk tahu kebenaran perkara ini.”

Beliau turut mencabar Kementerian Pertahanan mendedahkan projek “land swap” sebelum beliau menerajui kementerian itu.

“Saya mahu menteri dan timbalan menteri beritahu projek ‘land swap’ sebelum masa saya.

“Saya mahu mereka juga mendedahkan apa rancangan untuk menaik taraf kem dan rumah untuk tentera yang telah menunggu selama bertahun-tahun.”

Beliau berharap melalui siasatan SPRM, orang ramai akan tahu apa yang beliau lakukan untuk anggota tentera dan keluarga mereka.

“Siasat saya. Saya mahu orang tahu apa yang saya buat adalah untuk tentera, keluarga mereka dan kem (tentera).”

Isu pembelian 6 helikopter

Hishammuddin berkata, isu pembelian 6 helikopter bernilai RM300 juta pada 2015 tidak dibangkitkan SPRM hari ini.

“Saya sudah jawab mengenai kes helikopter, saya tiada apa yang nak disembunyikan. Apa yang salah tetap salah dan sekiranya ia membabitkan pegawai saya sebelum ini, saya tak sekat (siasatan).”

Bulan lalu, FMT melaporkan 6 helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan MD Helicopters milik gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat, McDonnel Douglas dipesan Kementerian Pertahanan di bawah pimpinan Hishammuddin pada 2015.

Pada 13 Jun lalu, sumber yang rapat dengan siasatan kes itu dilaporkan berkata, sebuah syarikat tempatan yang menjadi ejen rundingan dalam pembelian itu sudah ditamatkan kontrak sebagai ejen rasmi oleh syarikat AS terbabit.

Susulan itu, SPRM menahan 2 individu dari syarikat tempatan itu dan mereka direman selama 6 hari.