Kebuluran punca kematian Orang Asli, kata aktivis

Penduduk Orang Asli diberi rawatan kesihatan di Kampung Kuala Koh, Gua Musang. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang aktivis Orang Asli menolak teori bahawa kadar pemvaksinan rendah dalam kalangan suku Batek di Gua Musang merupakan penyebab utama kematian akibat wabak campak yang berlaku baru-baru ini.

Mereka yang meninggal dunia kekurangan zat makanan, justeru tidak dapat melawan penyakit itu, kata Tijah Yok Chopil, yang mengetuai kumpulan aktivis, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia.

Tijah memberitahu FMT bahawa penyakit campak bukanlah asing kepada penduduk suku Batek di situ dan sebelum ini mampu menghadapi serangan penyakit itu kerana kesihatan mereka baik.

“Kesedaran rendah mengenai pemvaksinan bukanlah penyebab kematian mereka,” katanya, menyanggahi penjelasan yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan.

Merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye bahawa cara hidup berpindah randah suku Batek menyukarkan pegawai kesihatan memberi suntikan imunisasi kepada anak-anak mereka, Tijah berkata, kementerian seolah-olah mencadangkan supaya mereka tidak berbuat apa-apa selain menunggu di rumah untuk diimunisasi.

“Mereka terpaksa sentiasa bergerak untuk mencari makanan. Mereka tidak boleh hanya duduk di rumah sementara menunggu pegawai kesihatan datang untuk beri suntikan.

“Anda fikir suntikan vaksin itu akan menyebabkan mereka mendapat semula zat pemakanan secara tiba-tiba? Mereka sudah pun berada di ambang kematian kerana kebuluran,” katanya.

Tijah Yok Chopil.

Tijah berkata, suku Batek terpaksa hidup berpindah randah kerana tanah adat mereka telah dirampas.

“Mereka tidak ada tempat bercucuk tanam. Oleh sebab itu mereka terpaksa keluar rumah untuk mencari makanan.”

Katanya, makanan lazim suku Batek hari ini ialah nasi dengan buah kelapa sawit rebus, walaupun kadang-kadang mereka makan ikan masin yang diberikan penduduk dari komuniti lain.

Beliau mendakwa kerajaan bersikap acuh tak acuh terhadap tanggungjawabnya membela nasib komuniti Orang Asli.

“Boleh buat macam-macam cadangan, tetapi apakah gunanya jika cadangan itu tidak menjadi kenyataan?

“Perkara paling penting yang perlu dibuat sekarang ialah mengatasi masalah tanah adat. Kerajaan hanya perlu pinda dan buat undang-undang (mengenainya)

“Ia perlukan keazaman politik. Jika kerajaan serius, ia sudah pun melakukannya,” kata beliau.

Lee sebelum ini mengakui bahawa kekurangan zat pemakanan merupakan “salah satu faktor” yang mengakibatkan penularan penyakit campak di Kampung Kuala Koh, di Gua Musang.

Katanya kerajaan akan memperluaskan program makanan di sekolah untuk turut merangkumi pengagihan makanan tambahan kepada komuniti Orang Asli.

Katanya Kementerian Kesihatan akan mengkaji kaedah bagi memperbaiki liputan program imunisasinya.