Menteri: Guan Eng ‘tidak bijak’ anggap Sarawak akan bankrap dalam 3 tahun

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah.

KUCHING: Seorang menteri Sarawak menyifatkan amaran Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa negeri itu bakal bankrap dalam tempoh 3 tahun sebagai tidak bijak.

“Mungkin itu andaian beliau bahawa rizab negeri akan habis dalam 3 tahun” kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Abdul Karim Rahman Hamzah merujuk kepada kenyataan Lim mengenai belanjawan tahunan negeri itu.

“Andaian itu mungkin benar jika tidak ada hasil masuk dan Sarawak hanya membelanjakan rizabnya.

“Pegawai kewangan negeri dan para penasihat tahu kerja mereka dan tidaklah terlalu bodoh untuk menyediakan satu belanjawan yang akan mengeringkan rizab negeri, justeru memberi kesan ke atas penarafan kredit kami oleh agensi penarafan antarabangsa.”

Pada majlis makan malam anjuran DAP Sarawak di sini Jumaat, Lim berkata, Sarawak akan kehabisan rizabnya dalam tempoh 3 tahun sekiranya ia terus menyediakan belanjawan tahunan berjumlah RM11 bilion.

Karim berkata, sejak 10 tahun lepas, Sarawak memperoleh penarafan positif daripada agensi seperti Standard and Poor dan Moody’s Investor Service.

“Penarafan Sarawak sentiasa lebih baik daripada penarafan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rizab negeri lain tidak pun sampai separuh nilai rizab negeri Sarawak.

“Guan Eng patut mencontohi Sarawak bukannya membuat kenyataan yang menampakkan sifat tidak bijak beliau,” katanya.

Karim berkata, hasil tahunan daripada pelaburan negeri sudah melebihi rancangan belanjawanannya dan ini berlaku setiap tahun.

Dalam pada itu Ketua Whip GPS merangkap ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof berkata, kenyataan tidak berasas Lim itu jelas membuktikan Pakatan Harapan (PH), terutama DAP terdesak untuk terus menipu rakyat Sarawak.

Beliau mempersoalkan apakah menteri kewangan sebuah negara tidak memahami sekiranya ada perbelanjaan negeri, maka sudah tentu akan ada juga sumber hasil bagi menanggung perbelanjaan itu.

“Bajet 2019 Sarawak adalah bajet lebihan sebanyak RM122 juta.

“Dalam maksud lain, hasil yang diperolehi oleh kerajaan Sarawak dalam tahun 2019 adalah RM122 juta lebih tinggi daripada perbelanjaan yang dicadangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini juga bermaksud, rizab Sarawak dijangka bertambah sebanyak RM122 juta pada akhir 2019, bukan berkurang RM11 bilion seperti diheboh-hebohkan oleh Guan Eng.”

Beliau berkata, sekiranya demikian caranya seorang menteri kewangan membuat kiraan dan analisis kewangan, justeru tidak menghairankan jika keadaan ekonomi negera semakin merudum dan nilai ringgit semakin susut di bawah jagaannya.

Fadillah Yusof.

Fadillah seterusnya berkata, 67% daripada belanjawan Sarawak diagihkan untuk projek pembangunan yang mendukung perkembangan ekonomi negeri itu pada masa akan datang.

Katanya, pelaksanaan cukai jualan 5% ke atas produk petroleum tahun ini juga akan memperluas asas hasil kerajaan bagi memenuhi komitmen perbelanjaan, di samping mengekalkan kemampanan fiskal dan kekukuhan rizab Sarawak.

“Sebagai menteri kewangan, Guan Eng sepatutnya membawa berita gembira apabila melawat Sarawak, bukannya mengeluarkan kenyataan yang merendah-rendahkan dan menakutkan rakyat.

“Kenyataan beliau sebagai menteri kewangan amat tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan keyakinan pelabur,” katanya lagi.

Beliau juga mengingatkan Lim supaya segera menepati janji yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-14 untuk memulangkan 20% hasil minyak Sarawak dalam bentuk bayaran royalti dan 50% hasil cukai kepada kerajaan negeri.

Ketua Pemuda SUPP Michael Tiang menyifatkan kenyataan Lim sebagai “bodoh” dan berkata, beliau belum pernah berjumpa menteri kewangan dari mana-mana negara yang akan mengucapkan sesuatu yang akan merosakkan integriti kewangan negara.

Terdahulu Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengkritik Lim dengan berkata, adalah jelas menteri kewangan itu tidak sedar bahawa Sarawak boleh bergantung pada hasil minyak, gas dan sumber lain, dan pengurusan kewangannya sangat baik.

“Tahun ini, saya akan melaksanakan cukai 5% ke atas eksport minyak dan gas, yang akan menghasilkan pendapatan sebanyak RM3 bilion,” katanya.

Menurut Abang Johari, pendapatan negeri bagi tahun 2018 ialah RM7 bilion.