PAS jadi kafir jika kerjasama dengan Umno, kata PM

Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja 4 hari sempena Sidang Kemuncak Asean ke-34 di Bangkok, hari ini. (Gambar Bernama)

BANGKOK: Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad berkata PAS mesti mengisytiharkan Umno sebagai parti Islam sebelum menjalin kerjasama politik dengan parti pembangkang itu.

Dengan nada sinis, perdana menteri berkata, PAS sebelum ini mengisytiharkan ahli Umno sebagai kafir dan PAS seharusnya mengisytiharkan Umno “Islam”.

“Tetapi sampai sekarang, PAS tidak kata apa-apa. Dahulu dia (PAS) kata Umno kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir. Sekarang ini, PAS tidak kata pula Umno itu kafir.

“PAS kerjasama dengan Umno, dia sendiri jadi kafir,” katanya selepas mengakhiri lawatan kerja 4 hari sempena Sidang Kemuncak Asean ke-34 di sini, hari ini.

Semalam, Muktamar PAS ke-65 meluluskan usul memeterai perjanjian politik dengan Umno.

Usul itu dibentang Ketua Penerangan Dewan Ulama, Mohd Asri Mat Daud, yang kemudiannya dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan.

Ketika membentangkan usul itu, Asri berkata, PAS tidak boleh menjalin taawun siyasi (kerjasama demi kepentingan Islam) semata-mata, sebaliknya hendaklah diikuti tahaluf siyasi (muafakat politik).

Kali terakhir PAS mengadakan perjanjian politik ialah bersama DAP pada 2008, sebelum ia ditamatkan selepas mendakwa parti itu melanggar syarat pada Julai 2015.