Pemuda PAS sokong kepimpinan Dr M

Khairil Nizam Khirudin berkata, sebagai pembangkang, PAS tidak akan membangkang secara membuta tuli, sebaliknya perkara baik akan disokong, manakala kelemahan kerajaan pula akan dikritik.

KUANTAN: Pemuda PAS hari ini menyuarakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pemuda PAS yang baru, Khairil Nizam Khirudin, sokongan itu berteraskan dasar politik Islam dan percaya kestabilan negara akan menjamin kebajikan rakyat.

Katanya, sebagai pembangkang, PAS tidak akan membangkang secara membuta tuli, sebaliknya perkara baik akan disokong, manakala kelemahan kerajaan pula akan dikritik

“Walaupun PAS berada di kerusi pembangkang, Pemuda ingin sarankan kepada kepimpinan supaya kita bawa konsep kewujudan bersama.

“Ia adalah hubungan antara Muslim dan bukan Muslim yang diikat dengan tali kewarganegaraan. Ini misi dan visi PAS. Kita satukan rakyat dengan formula Islam sebab itu ahli PAS jangan malu-malu dan segan-segan nak maafkan seteru politik kita.

“Ini kerana Nabi Muhammad pun menunjukkan keikhlasan mengampunkan beberapa individu yang diberi hukuman kerana membunuh,” katanya pada sesi ucapan penggulungan sempena Muktamar PAS ke-65 hari ini.

Ajar bahasa ibunda di sekolah kebangsaan

Bagi menangani perpecahan dalam masyarakat berbilang kaum, Khairil berkata, PAS wajar mengeluarkan manifesto lebih awal dengan memasukkan pelan memperkenalkan pengajaran bahasa ibunda lain di peringkat sekolah kebangsaan.

Katanya, pendekatan strategik itu berupaya memperkukuhkan perpaduan semua kaum di negara ini, selain mengekang masalah pengangguran di kalangan guru.

“Perpaduan nasional adalah kerana bahasa, justeru kita percaya apabila pengajaran bahasa Jawi, Mandarin dan Tamil diwajibkan di sekolah kebangsaan, ia mampu membawa perubahan.

“Selain itu, lebih ramai cikgu berupaya diambil bekerja untuk mengajar subjek bahasa ini di sekolah.”