PKR ulangi sokong peralihan kuasa Anwar ganti Dr M

Anwar Ibrahim (duduk, tengah) mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA: PKR hari ini mengulangi sokongannya terhadap rancangan peralihan kuasa yang dipersetujui 4 parti dalam Pakatan Harapan untuk Anwar Ibrahim menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Anwar berkata, parti itu pada awalnya merasakan tindakan itu tidak perlu.

“Tetapi disebabkan persoalan berterusan…mengenai isu peralihan kuasa, kami dapati ia perlu untuk mengesahkan semula pendirian kami dan menyuarakan kepuasan hati kami dengan proses berterusan itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di ibu pejabat parti di sini.

Presiden PKR itu berkata, ramai yang memberi reaksi “negatif” terhadap perkara itu, walaupun selepas Mahathir mengulangi pendiriannya untuk mengotakan janji melepaskan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

“Mereka akan baca setiap ayat, (kata) satu atau 2 perkataan hilang, atau satu atau 2 sindiran yang bagi saya tidak relevan langsung.”

Katanya, beliau berpuas hati dengan jaminan diberikan Mahathir dalam perbincangan mingguan mereka dan tidak meragui peralihan kuasa tidak akan berlaku.

“Beliau (Mahathir) sangat tulen dan jujur.

“Saya tidak fikir kita perlu berkongsi isu yang kita bangkit antara kita (kepada orang ramai)…setakat yang saya dan beliau tahu, ia sudah ditentukan.”

Di bawah perjanjian antara kepimpinan Pakatan Harapan, Anwar sepatutnya menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri dalam masa 2 tahun.

Tetapi, bulan lalu, Mahathir memberi jaminan beliau akan menyerahkan tampuk pemerintahan negara kepada Anwar seperti dijanjikan, tetapi tiada jangka masa diberikan untuk peralihan kuasa itu.

Laporan polis berhubung buku rendahkan Anwar

Anwar berkata, satu lagi laporan polis dibuat berhubung dakwaan peras ugut baru-baru ini mengenai sebuah buku dikatakan merendah-rendahkan Anwar yang ditulis Yahaya Ismail.

Isu buku itu dibangkitkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul.

Anwar turut menyerahkan soalan berikut kepada Johari yang juga Ketua PKR Kedah, ketika ditanya mengenai penafian Yahaya cuba menggunakan manuskrip bertajuk “Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM” untuk memeras ugut.

Johari mendakwa Yahaya cuba menuntut lebih RM400,000 daripada Anwar supaya tidak menerbitkan buku itu.

Yahaya mengakui pernah menghubungi Johari untuk berunding jualan hak cipta manuskrip itu kepada Anwar, tetapi menafikan ia adalah cubaan pemerasan.

Yahaya berkata, beliau menulis buku itu untuk membuktikan kepada dirinya sebagai umat Islam, Anwar tidak mempunyai “perwatakan betul” untuk menjadi perdana menteri.

Dalam buku itu, ada satu bab bertajuk “Azmin Ali Bakal PM”, merujuk Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali layak menjadi perdana menteri berikut.

Anwar berkata, “tiada siapa mengambil Yahaya secara serius” dan kebanyakan bukunya tidak dibincangkan dalam pasaran arus perdana.