PM Thailand rasmi pembukaan Sidang Kemuncak Asean ke-34

Perdana Menteri Thai Prayuth Chan o-cha berkata, kedudukan negara itu sebagai pengerusi Asean mencerminkan komitmen mewujudkan Komuniti Asean yang berpaksikan rakyat, tidak mengecualikan sesiapa serta rantau itu kekal aman, stabil dan makmur. (Gambar Bernama)

BANGKOK: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad hari ini menghadiri upacara pembukaan Sidang Kemuncak Asean ke-34 yang menyaksikan pengerusi Asean, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha, membentangkan wawasannya untuk perkumpulan serantau 10 negara itu.

Dalam ucapan perasmiannya yang bertemakan “Memperkukuhkan Kerjasama bagi Kelestarian’”, Prayuth berkata, negara itu akan meneruskan inisiatif dan tugas baik yang diusahakan pengerusi sebelumnya “untuk merealisasikan impian yang kita semua tetapkan serta memastikan penduduk Asean, sekarang dan masa depan, boleh menangani cabaran yang datang dan benar-benar mendapat manfaat daripada Asean”.

Beliau berkata, kedudukan Thailand sebagai pengerusi mencerminkan impian untuk mewujudkan Komuniti Asean yang berpaksikan rakyat, tidak mengecualikan sesiapa serta memastikan rakyat hidup di rantau aman, stabil dan makmur yang berkekalan.

Beliau berkata, negara anggota Asean perlu mengambil kesempatan daripada Revolusi Perindustrian ke-4 untuk meningkatkan daya saing dan membina imuniti terhadap kesan negatif teknologi yang mengganggu supaya dapat maju ke arah “Digital dan Green Asean”.

Prayuth menyeru negara anggota supaya mengukuhkan usaha sama melalui kerjasama yang lebih mendalam di dalam Asean dan dengan rakan luarnya untuk memperkukuhkan kedudukannya di rantau ini dan meningkatkan peranan Asean dalam menangani isu serantau dan global yang penting.

Beliau menggesa semua negara anggota supaya menggalakkan kesalinghubungan dalam semua dimensi, daripada infrastruktur digital dan peraturan untuk menghubungkan rakyat bagi membina “Asean Seamless”.

“Kita berhasrat untuk menjadi “Asean Lestari” dalam semua dimensi, dari keselamatan hingga ekonomi, alam sekitar dan keselamatan manusia. Mulai sekarang, konsep “sustainability of things” atau SOT, akan memaklumkan setiap keputusan Asean dan menjadi DNA Asean untuk disalurkan kepada generasi akan datang.

“Komuniti Asean yang mampan akan membantu meningkatkan nilai ditambah strategik Asean dalam jangka panjang dan akan menjadi perisai pelindung bagi rakyat kita dalam menghadapi perubahan serantau dan global dan ketidakpastian,” katanya.

Antara yang mendapat perhatian sidang kemuncak itu ialah acara tradisi para pemimpin berjabat tangan.

Tumpuan media tempatan dan antarabangsa jelas ke arah Mahathir, yang berdiri di hujung sebelah kiri, manakala pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, berdiri di sebelahnya, kerana kedua-dua pemimpin itu berbeza pendapat dalam krisis Rohingya.

Terdahulu, semua pemimpin Asean melancarkan “Satellite Warehouse” di Wilayah Chainat, Thailand di bawah Sistem Logistik Kecemasan Bencana untuk Asean (DELSA).

Menurut Thailand, Satellite Warehouse atau gudang satelit itu akan membolehkan Asean dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana Asean (Pusat AHA) di Indonesia mengedarkan barangan bantuan dengan lebih berkesan ke negara anggota Asean yang terjejas bencana di tanah besar Asia Tenggara.

Sementara itu, Sekretariat Asean dalam satu kenyataan menjelaskan gudang satelit itu akan mengukuhkan lagi tindak balas kolektif Asean terhadap bencana alam di bawah semangat “Satu Asean, Satu Respons” berikutan perangkaian dengan gudang serantau di Malaysia dan gudang satelit di Filipina.

“Gudang satelit di bawah DELSA adalah satu lagi penyampaian dalam menyokong tema kepengerusian Asean ‘Memperkukuhkan Kerjasama bagi Kelestarian’,” katanya.

Mahathir dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-13 dan Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-12, kemudian.