PPBM, Umno ajak PAS kerjasama sebelum PRU14, kata Idris

Idris Ahmad berkata, bukan mudah untuk beliau menerima keputusan PAS menjalin kerjasama politik dengan Umno bagi menghadapi PRU15.

KUANTAN: Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, Umno dan PPBM pernah mempelawa parti Islam itu untuk menjalin kerjasama sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, katanya, parti Islam itu menolak pelawaan berkenaan kerana berpegang kepada prinsip dan dasar yang meletakkan Islam di depan.

“Kalau kami nak senang, kalau kami nak dunia tanpa memikirkan prinsip lebih baik, kami bersama-sama Pakatan Harapan dulu sebelum PRU14.

“Pertemuan terakhir sekali, saya, (Timbalan Presiden PAS) Tuan Ibrahim Tuan Man, (Setiausaha Agung), Takiyuddin Hassan, (bekas pengarah pilihan raya), Mustafa Ali bincang di sebuah hotel di Bangsar.

“Dalam perbincangan tersebut, kita minta supaya satu gabungan parti, termasuk Gagasan Sejahtera untuk tolak DAP. Mereka kata kalau nak tolak DAP, kita tak boleh menang.

“Waktu itu belum ada PH, masih PPBM yang diwakili (Presiden PPBM) Muhyiddin Yassin, (Timbalan Presiden) Mukhriz Mahathir dan (Naib Presiden) Abdul Rashid Abdul Rahman serta Ketua Dasar dan Strategi PPBM, Rais Hussin Mohamed Ariff,” katanya dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-65 hari ini.

Beliau berkata, PAS memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan menjalin kerjasama itu selepas pimpinan tertinggi PPBM menolak permintaan untuk mengetepikan DAP.

“Kita PAS betul-betul minta maaf…Kalau nak bersama juga (dengan DAP), kami tarik ‘handbrake’.”

Idris berkata, jika PAS hanya memikirkan soal pangkat dan kemenangan dalam PRU tanpa mengutamakan prinsip Islam yang diperjuangkan, sudah tentu mereka bersama Umno ketika parti itu masih berkuasa.

“Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pernah dijemput pada zaman kepimpinan Najib Razak dan Abdullah Ahmad Badawi ‘one by one’ bincang nak bersama, kita kata tak boleh.

“Kalau nak fikir bab itu, kita tak bersama Umno hari ini, tapi bersama masa Umno jadi kerajaan dan ada kuasa dulu.”

Beliau memberi jaminan kepada ahli dan penyokong PAS yang kepimpinan parti tidak akan sesekali mengkhianati amanah diberikan kepada mereka, khasnya membabitkan kerjasama dengan Umno untuk berdepan PRU15.

Idris mengakui bukan mudah menerima keputusan PAS menjalin kerjasama politik dengan Umno untuk menghadapi PRU15.

“Atas prinsip dengar dan taat, ia tidak boleh diterima dengan sekelip mata, ia mesti dibina. Bukan senang tuan-tuan, kita nak terima Umno. Bukan senang, (tetapi) saya akur.

“Kita dari kecil sudah berlawan dengan Umno, tapi sekarang tiba-tiba boleh duduk sepentas dengan mereka. Bukan senang, kita terpaksa korbankan perasaan kita.

“Kita boleh korban lembu 5 atau 10 ekor di markas, belum tentu kita boleh korban perasaan kita. Sebab itu belajarlah untuk korban perasaan, menerima segala gerak kerja yang telah diputuskan jemaah.”

Katanya, semua ahli PAS perlu mendengar arahan pucuk pimpinan bersandarkan politik kerana Islam.

“Kalau politik kata rugi, Islam kata untung, kita ambil yang Islam, walaupun terpaksa kita alami kekalahan dalam pilihan raya.

“Kita mesti dengar arahan daripada pimpinan, biarlah orang kata kita golongan wala’un. Kami wala’un, bukan malaun sudahlah.”