Wajib jatuhkan kerajaan PH, kata ulama PAS

Ketika bercakap pada sesi ucapan penggulungan sempena Muktamar Tahunan PAS ke 65 di Kuantan hari ini, ketua Ulama parti itu Nik Zawawi Salleh berkata, PAS perlu meletak sasaran untuk memerintah Putrajaya.

KUANTAN: Ulama Pusat PAS hari ini secara terbuka menyatakan pendirian wajib bagi parti Islam itu menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ada sekarang.

Ketuanya, Nik Zawawi Salleh berkata, tidak ada khilaf mengenai perkara itu dan menggesa parti itu supaya tidak banyak menoleh ke belakang.

“PAS berdepan dengan PH, hukumnya wajib menjatuhkan kerajaan sedia ada ketika ini, hukumnya wajib.

“Perkara ini kita jangan khilaf. Kita bergerak ke hadapan dan jangan banyak toleh ke belakang,” katanya ketika bercakap pada sesi ucapan pengulungan sempena Muktamar Tahunan PAS ke-65 di Kuantan hari ini.

Beliau yang juga merupakan ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, PAS perlu meletakkan sasaran untuk memerintah Putrajaya.

“Parti yang kita perjuangkan ini sepatutnya kita letak satu ‘target’ iaitu menjadi kerajaan pusat. Percaturan politik yang berlaku mendorong kita bekerja dan merancang lebih cepat.

“Kalau lambat kita tertinggal. Kalau tak cekap akan dicabar oleh orang lain. Dalam isu taawun dan tahaluf (kerjasama dengan Umno), maklumat dari atas mestilah sampai ke bawah,” katanya, merujuk kepada kerjasama politik antara PAS dengan Umno dan parti politik pembangkang lain dalam usaha membentuk gabungan yang kuat.

Nik Zawawi berkata, parti itu juga perlu menolak kerjasama dengan DAP dan Amanah.

Beliau menyifatkan Amanah, yang mendakwa membawa konsep rahmatan lil-alamin, sebagai sebuah parti pengampu.

Katanya, ini berbeza dengan pendekatan PAS yang terbuka dan menerima orang bukan Islam melalui pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) selaras dangan pendekatan parti itu yang mengutamakan sikap adil kepada semua kaum.

“Kita akan adakan seminar dengan kerjasama DHPP bagi mewujdukan persefahaman lebih baik antara masyarakat Islam dan bukan Islam supaya semua pihak dapat melihat Islam sebagai ‘rahmatan lil-alamin’ sebenar bukan sikap pengampu yang ada dalam PH.

“Apa yang diperjuangkan (PAS) adalah untuk kepentingan Islam dan kepelbagaian kaum,” katanya selain menegaskan bahawa PAS tidak boleh memerintah negara secara bersendirain.

Muktamar tahunan PAS kali ke-65 yang bermula Jumaat lepas di Stadium Tertutup Sukan Pahang di sini dijadualkan berakhir hari ini.