2 anggota APMM terima rasuah bulanan daripada nelayan direman

2 anggota APMM berpangkat Bintara Muda Maritim didakwa meminta dan menerima suapan wang tunai secara bulanan bernilai RM200 sehingga RM2,000 daripada nelayan dan pemilik bot. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah, direman selama 7 hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima suapan bulanan daripada nelayan di Kuala Kedah sejak 3 tahun lepas.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek masing-masing berusia 44 tahun berpangkat Bintara Muda Maritim itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Noor Lyana Ab Rahim.

Difahamkan kedua-dua suspek didakwa meminta dan menerima suapan wang tunai secara bulanan bernilai antara RM200 sehingga RM2,000 daripada nelayan dan pemilik bot sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan menceroboh kawasan penangkapan ikan.

Mereka ditahan pada 5.30 petang dan 6 petang semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alor Setar.

Pengarah SPRM Kedah, Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.