Akibat cemburu, lelaki OKU maut dipukul

Polis menerima panggilan mengenai kejadian pukul pada jam 2.40 petang dan semasa polis tiba, OKU itu masih dipukul, sebelum pergaduhan dileraikan.

PARIT: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas dipukul dengan kayu berpaku dalam satu pergaduhan dengan seorang lelaki, yang dipercayai berpunca daripada rasa cemburu, di Jalan Kenanga 8, Felcra Changkat Lada di Kampung Gajah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, Badrul Hisham Ngah Aziz, 42, duda anak 3 yang cacat kaki kirinya, mengalami kecederaan parah parah di beberapa anggota akibat dipukul dan beliau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah DSP Nik Rosdi Nik Yahya berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 2.40 petang dan semasa polis tiba, OKU itu dilihat masih sedang dipukul, sebelum pergaduhan dileraikan.

“Kejadian berlaku di depan rumah suspek yang berumur awal 40-an itu yang kini dalam proses penceraian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Rosdi berkata suspek yang tidak sempat melarikan diri ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.