‘Amy Keju’ ketua kumpulan jenayah terancang ditangkap polis

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sebuah kumpulan jenayah terancang dengan menahan ketuanya yang dikenali sebagai “Amy Keju” di sebuah pusat hiburan di Sungai Besi semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata kumpulan yang dianggotai bekas banduan itu aktif melakukan jenayah, antaranya samun dan rompakan sejak beberapa tahun lepas.

Beliau berkata lelaki yang berusia 32 tahun itu ditahan bersama adiknya ketika sedang berhibur di premis berkenaan dipercayai menggunakan wang hasil kegiatan jenayah.

“Semakan yang dilakukan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau selain turut disenarai sebagai individu yang dikehendaki polis.

“Kumpulan itu dipercayai dianggotai kira-kira 40 hingga 45 orang yang dipercayai direkrut dalam kalangan mereka yang keluar dari penjara serta pusat pemulihan di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar khas JSJ, di Bukit Aman hari ini.

Huzir berkata sehingga kini, polis menahan 17 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan terbabit dan usaha untuk mengesan anggota lain sedang giat dilakukan.

“Kumpulan itu amat teratur dan berbahaya jika dibiarkan memandangkan ia dianggotai oleh mereka yang berpengalaman dalam melakukan jenayah.

“Siasatan lanjut berhubung kumpulan itu masih diteruskan oleh polis Selangor yang turut dibantu Bukit Aman,” katanya.