Dr Mahathir mahu Asean tingkat perdagangan serantau

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, perdagangan dalam kalangan negara Asean sangat kecil iaitu 25% daripada jumlah keseluruhan perdagangan berbanding EU dan Kesatuan Amerika Utara antara 40 hingga 50%.

BANGKOK: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, 10 negara anggota Asean bukannya tidak aktif, sebaliknya memainkan peranan penting bagi merangsang perdagangan serantau.

Beliau berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan di rantau dan sub-rantau itu yang menyaksikan banyak pertumbuhan, malah blok serantau itu turut mencatat banyak kemajuan sejak penubuhannya, di samping berpotensi besar untuk meningkatkan pertumbuhan setiap negara anggota.

Mahathir yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 yang berakhir semalam berkata, “banyak pihak menyatakan Asean tidak aktif.

“Bagaimanapun, terdapat banyak perkara yang telah dilakukan walaupun di kawasan sub-rantau, termasuk Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang menyaksikan banyak pertumbuhan.

“Saya berpendapat, dedikasi ke arah Asean sangat betul. Jika dibandingkan dengan perkumpulan serantau yang lain, Asean bukan sahaja boleh bekerjasama, malah aman. (Perkumpulan) yang lain tidak aman atau menghadapi masalah dengan keanggotaan, termasuk Kesatuan Amerika Utara dan Kesatuan Eropah,”

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas menamatkan lawatan kerja 4 hari ke Thailand.

Mahathir menggesa negara anggota untuk melaksanakan usaha khas bagi merancakkan lagi perdagangan Asean.

Jelasnya, perdagangan dalam kalangan negara anggota adalah sangat kecil iaitu 25% daripada jumlah keseluruhan perdagangan, berbanding perkumpulan yang lain seperti EU dan Kesatuan Amerika Utara yang mencatatkan perdagangan antara 40 hingga 50%.

“Kita mempunyai idea, antaranya dengan mempergiat sektor pelancongan selain prosedur, proses dan keperluan undang-undang bagi meningkatkan perdagangan dalam kalangan negara Asean.

Mahathir mencadangkan agar kereta Asean boleh menghentikan import kereta ke rantau ini.

“Apabila kita mengimport kereta, kita memasang di Malaysia dan ia menjadi satu perniagaan yang besar…kemudiannya kita boleh menggantikannya dengan kereta nasional kita sendiri,” katanya.

Mahathir berkata Asean turut menyambut baik semua pelaburan langsung asing ke rantau ini yang dikenal pasti bidangnya di setiap negara.

Mahathir berkata perjumpaan dengan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha semalam turut membincangkan beberapa isu, termasuk proses keamanan di Selatan Thailand dan pembinaan jambatan di sempadan untuk meningkatkan perdagangan.

Selain itu, beliau berkata masalah 2 kewarganegaraan turut dibincangkan.

“Ada rakyat Malaysia yang juga rakyat Thai. Ini menimbulkan banyak masalah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata, Malaysia komited untuk memuktamadkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada tahun ini.

“Proses ini sedang berlangsung. Malah, kita terlepas sasaran untuk menandatangani RCEP beberapa kali, namun kita komited untuk memuktamadkannya menjelang akhir tahun ini,” katanya.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas yang dicadangkan antara 10 negara anggota Asean dan 6 negara Asia Pasifik, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Perjanjian perdagangan bebas itu dilancarkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak Asean 2012 di Kemboja.

RCEP mempunyai gabungan penduduk berjumlah 3.4 bilion dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bernilai AS$49.5 trilion atau 39% daripada KDNK global.

Terdahulu, Prayuth menggesa Asean supaya memuktamadkan RCEP pada tahun ini untuk membentuk kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia.