Guan Eng tidak layak jadi menteri kewangan, kata Nancy

Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri berkata, menteri kewangan membuat perkiraan tanpa mengambil kira aktiviti ekonomi di Sarawak.

KUCHING: Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri mempersoalkan kesesuaian Lim Guan Eng memegang jawatan menteri kewangan dengan berkata, kenyataan terbaru beliau mengenai masa depan kewangan Sarawak menunjukkan ketidakmampuannya memahami proses penyediaan belanjawan.

Memberi respons terhadap kenyataan Lim bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh 3 tahun sekiranya ia terus menetapkan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, Nancy berkata, menteri kewangan itu membuat perkiraan tanpa mengambil kira aktiviti ekonomi di negeri tersebut.

Sama seperti komen banyak pihak terhadap ucapan Lim pada majlis makan malam DAP Sarawak Jumaat lepas, Nancy mengandaikan bahawa beliau mungkin menjangka peruntukan RM11 bilion itu diambil daripada rizab negeri yang kini berjumlah RM30 bilion.

Katanya, Lim mungkin tidak tahu bahawa sebahagian besar wang untuk tujuan perbelanjaan negeri itu dijana daripada aktiviti ekonomi.

Nancy memberitahu FMT, beliau menyokong penuh kenyataan Dr Mahathir Mohamad dan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin bahawa pencapaian sesetengah menteri persekutuan rendah.

“Terbukti sebilangan menteri benar-benar menepati penilaian itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dengan membuat kenyataan itu, Lim mungkin mempunyai niat lebih buruk untuk terus membohongi rakyat Sarawak supaya mereka tidak lagi menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) – gabungan parti politik yang kini memerintah negeri berkenaan.

Beliau mendakwa DAP Sarawak turut menyokong kenyataan Lim, justeru bertanya sama ada langkah tersebut bukan satu pengkhianatan terhadap negeri itu.

Dalam kenyataannya, Lim berkata kerajaan GPS wajar “ditamatkan” kerana kegagalannya memenuhi aspirasi Sarawak.

Beliau merujuk keputusan ahli Parlimen GPS yang mengundi menolak rang undang-undang kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf Semenanjung Malaysia.